Iman di Hati, Syirik ke Tepi

Iman di Hati, Syirik ke Tepi

Iman di Hati, Syirik ke Tepi

Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Sedangkan mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuahn Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan.” (Surah al-Tawbah 9:31)

Allah memerintahkan dua perkara berikut; satu perlu dilakukan, manakala satu lagi perlu dijauhi: “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut.” (Surah al-Nahl 16:36)

Manusia dijadikan oleh Allah untuk mengabdikan diri hanya kepada-Nya. Perbuatan syirik amat bertentangan dengan tugas pengabdian yang diperintahkan oleh Allah ini. Hal ini kerana syirik merupakan perbuatan menyekutukan Allah dalam apa-apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan mahupun iktikad iaitu dengan menjadikan makhluk sebagai sekutu bagi Allah.

Firman Allah: “Da (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Surah al-Zariyat 51:56)

Sayyid Qutb dalam Fi Zilal al-Qur’an menyatakan bahawa ayat yang pendek ini mengandungi hakikat terpenting dalam kejadian alam dan hidup manusia.

Sedar Hakikat Diri

Benar apa yang dikatakan oleh Sayyid Qutb, jika seseorang manusia tidak tahu hakikat kejadiannya, bermakna dia tiada pedoman hidup. Dia akan menganggap kehidupan ini sekadar memenuhi kehendak naluri dan nafsu semata-mata. Hubungannya dengan manusia dan alam sekitar tidak lebih daripada untuk memenuhi kehendak sosial.

Berbeza pula dengan individu yang menyedari bahawa dia hanya hamba kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Dia akan sedar hakikat diri dan matlamat hidup, bahkan tahu sama ada segala tindakannya sesuai dengan konsep ibadat kepada Allah atau sebaliknya.

Persoalan seumpama inilah yang menjadi kunci kepada kesedaran tentang hakikat kejadian diri sesorang sebelum dia menyedari hakikat-hakikat yang lain. Jika manusia menyedari kedudukannya sebagai hamba Allah yang lemah, pasti dia mampu menyelami kedudukan Allah Yang Maha Gagah.

Amat malang jika seseorang manusia bangun pada waktu pagi hanya sekadar mencari rezeki untuk makan minum dan mengecap nikmat keduniaan semata-mata tanpa memikirkan soalan-soalan berikut:

1. Siapakah yang memberikan nyawa?

2. Siapakah yang membuka pintu rezeki?

3. Apakah tugas kita sebagai manusia?

Allah Ada, Ada Tanda

Fitrah manusia sentiasa mengajak kepada keimanan kepada Allah. Ia bukan sekadar wujud dalam bentuk naluri dalam diri manusia sebagaimana yang dinyatakan oleh ayat-ayat tadi, tetapi ia turut dirangsang oleh logik akal yang dikurniakan oleh Allah kepada kita.

Tanpa pelajaran dan pembelajaran pun, akal manusia mampu mengaitkan kejadian alam ini dengan Penciptanya. Atas dasar inilah kita dapati seorang Arab Badwi memberi jawapan ini apabila ditanya tentang kewujudan Allah:

“Tahi unta menunjukkan adanya unta, kesan tapak kaki menunjukkan ada pejalan kaki, justeru langit yang dihiasi” bintang-bintang, bumi yang penuh dengan jalan-jalan yang luas dan lautan yang tidak pernah sunyi daripada gelora, adakah semua itu tidak menunjukkan kewujudan Yang Maha Esa?”

Keimanan kepada Allah bukan hanya sifat semula jadi manusia sahaja, sebaliknya ia juga sesuai dengan logik akal manusia. Oleh itu, al-Quran sering mengajukan persoalan-persoalan logik kepada manusia tentang kewujudan Allah sebagaimana dalam firman-Nya:

“Adakah merek telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya).” (Surah al-Tur 52:35-36)

HANYA ALLAH SAHAJA YANG LAYAK DISEMBAH DAN TIDAK BOLEH DISANGGAH. DIA LAYAK DISYUKURI, BUKAN DIKUFURI. HANYA DIA SAHAJA YANG PATUT DITAATI, BUKAN DIDERHAKAI.

Bukan Seperti Hamba Manusia

Persoalan-persoalan logik seumpama ini dapat dijawab dengan mudah oleh akal mausia yang sejahtera sekalipun dia tidak memiliki pelajaran yang mudah akan terfikir:

“Sudah tentu aku dijadikan oleh sesuatu. Sudah tentu aku tidak menjadikan diriku sendiri dan tidak pernah dalam sejarah dunia ada yang mendakwa dia yang mencipta langit dan bumi melainkan orang gila.”

Jika persoalan-persoalan logik ini terjawab dengan sebegitu mudah, ditambah lagi dengan naluri semula jadi manusia yang beriman kepada Allah, maka tiada alasan lagi bagi manusia untuk tidak beriman dan mentauhidkan Allah.

Perhambaan ini bukan seumpama perhambaan manusia sesama manusia sebagaimana yang telah berlaku dalam sejarah dunia suatu masa dahulu. Sebaliknya perhambaan ini adalah perhambaan suci kepadaAllah, Tuhan yang tidak berhajat kepada makhluk-Nya, bahkan Dialah yang menentukan segala rezeki dan nasib makhluk.

Allah menjadikan manusia bukan untuk mendapatkan manfaat daripadanya atau menolak kemudaratan sebagaimana yang diharapkan oleh tuan daripada hambanya. Allah Maha Kaya, Penentu segala rezeki. Allah memiliki segala kekuatan yang tidak tergambar oleh pemikiran manusia.

Justeru tiada apa yang diharapkan oleh Allah daripada makhluk yang lemah. Allah hanya meminta supaya kita beribadat kepada-Nya dengan ikhlas dan penuh keimanan.

Mantapkan Iman

Beriman kepada Allah merupakan perkara asas dan utama dalam kehidupan. Beriman kepada Allah mengandungi tuntutan beriman kepada wujudnya Allah, juga beriman kepada keesaan-Nya dari sudut rububiyyah dan uluhiyyah-Nya. Termasuk juga dalam tuntutan keimanan ini adalah beriman dengan nama-nama Allah yang baik dan sifat-sifat-Nya yang mulia yang lahir daripada sifat kesempurnaan serta bersih daripada segala kekurangan.

Hakikatnya, Islam tidak sekadar menekankan hanya beriman bahawa Allah wujud kerana ia sesuatu yang mudah diterima secara fitrah. Akan tetapi sesuatu yang agak sukar diterima oleh golongan yang ingkar dan kufur juga perlu mentauhid serta mengesakan Allah, mengimani bahawa bagi Allah memiliki segala kuasa mencipta dan memerintah, memelihara dan mentadbir segala urusan.

Hanya Allah sahaja yang layak disembah dan tidak boleh disanggah. Dia layak disyukuri, bukan dikufuri. Hanya Dia sahaja yang patut ditaati, bukan diderhakai.

Islam Bercahaya Ketika Barat Dalam Kegelapan

Islam Bercahaya Ketika Barat Dalam Kegelapan

Islam Bercahaya Ketika Barat Dalam Kegelapan

Sepertimna kita ketahui Zaman kegelapan berlaku antara tahun 699 hingga 1000 Masihi. Kita terlampau memberi tumpuan kepada dunia Eropah Barat, sedangkan ketika itu, tamadun Islam yang agung berkembang dengan pesatnya dari India ke Sepanyol.

Bagi kita tamadun hanya berada di Eropah Barat, sedangkan pandangan ini merupakan satu pandangan yang sempit. (Bertrand Russel, History of Western Philosophy)

Memang benar, ketika Barat berada pada Zaman Kegelapan, perbezaan antara dunia Islam dan Barat boleh dikiaskan seperti langit dengan bumi. Victor Robinson membuat perbandingan ini dalam bukunya yang berjudul The Story of Medicine.

Tokoh Barat Anak Murid Tokoh Islam

Memandangkan ilmu dan tamadun umat Islam lebih hebat daripada Barat pada Era Kegelapan dahulu, tokoh-tokoh Barat tanpa segan silu datang ke bumi Islam; bumi Andalusia untuk menjadi anak murid kepada tokoh-tokoh islam.

1. “Di bawah konsep toleransi agama, golongan Kristian hidup penuh kebebasan di bawah pemerintahan khalifah Islam di Sepanyol. Pelajar-pelajar Kristia dari pelbagai pelosok eropah datang ke negara Arab ini untuk belajar.” (Robert Briffault, The Making of Humanity)

2. “Semua pelajar Kristian yang berbakat ini mengetahui bahasa dan kesusasteraan Arab. Mereka membaca dengan penuh minat buku-buku karangan orang Arab dan berasa amat kagum dengan kesusasteraannya.” (Alvaro, seorang paderi kanan di Cordova)

3. Gerbert of Aurillac membawa beberapa bahan tentang astronomi dan matematik daripada Sepanyol untuk mengajar anak-anak muridnya tentang alam serta sistem cakerawala.

4. “Tokoh yang paling banyak mempopularkan tulisan-tulisan Arab ialah Gerard of Cremona. Beliau berjaya menghasilkan (bahan terjemahan hasil tulisan al-Haitham) dalam bidang astronomi.” (Robert Briffault)

5. Seorang lagi tokoh dari Barat, Michael Scot, sering kali berulang-alik ke Cordova bertujuan untuk mendapatkan manuskrip untuk (diterjemahkan).

Istimewanya Tamadun Islam

1. Mempengaruhi Yahudi

Golongan Yahudi juga mendapat faedah daripada umat yang hebat ini. Berhubung dengan ini. Robert Briffault berkata dalam bukunya yang berjudul The Making of Humanity.

– Sikap toleransi orang Islam di bawah pemerintahan Khalifah juga dirasai.

– Budaya hidup orang Islam dikembangkan di kawasan ceruk.

– Membina banyak sekolah antaranya sekolah Kimhis dan Ben Esra di Narbonne.

– Doktor-doktor Yahudi yang dilatih oleh orang Arab mengembangkan pengalaman dan pengajaran ilmu perubatan ini di Eropah sepanjang Zaman Pertengahan dahulu.

2. Islam dan Nilai Kemanusiaan Sejagat

Dunia banyak memperlajari daripada budaya dan cara hidup umat Islam. Malah ajaran Islam yang hebat merangsang beberapa perubahan positif di dunia. Hal ini dijelaskan oleh Robert Briffaut dalam buku yang berjudul The Making of Humanity.

Antaranya konsep kebebasan manusia, persaudaraan  sesama insan dan persamaan hak dalam kalangan manusia termasuk hak untuk bersuara, merangsang beberapa kejadian penting dalam sejarah seperti:

– Revolusi Perancis

– Deklarasi Hak Asasi Manusia di Amerika

– Perjuangan ke arah kemerdekaan di negara-negara Amerika Latin.

Sebenarnya konsep-konsep ini bukanlah hak cipta masyarakat Barat. Ia sebenarnya ajaran yang terdapat dalam al-Quran yang dihayati oleh orang Islam. Konsep-konsep ini kemudian mempengaruhi  masyarakat Eropah. Besar kemungkinan, jika tidak kerana orang Arab, era kemodenan di Eropah tidak akan berlaku sama sekali.

3. Ajaran dan Acuan Hebat

Antara sebab umat Islam menjadi hebat ialah ajarannya yang agung. Ajaran ini bernama Islam dan ia merupakan satu ajaran yang lengkap lagi sempurna. Dengan sempurnanya Islam, sempurnalah nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia.

Firman Allah dalam kitab-Nya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan agama kamu bagi kamu dan telah Aku sempurnakan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama kamu.” (Surah al-Ma’idah 5:3)

Ayat ini jelas membuktikan bahawa Islam merupakan satu nikmat dan bukannya bala bagi manusia.

Imam Ibn Kathir mentafsirkan ayat ini “Apabila Allah menyempurnakan agama ini, umat Isam tidak memerlukan agama lain selain Islam dan mereka juga tidak memerlukan nabi lain selepas nabi Muhammad.”

Hal ini membuktikan bahawa ajaran Islam mempunyai keunikan dan kehebatannya. Inilah acuan yang berjaya melahirkan satu umat hebat yang mengagumkan sebelum ini.

Secara dasarnya, acuan Islam tidak akan dapat dihayati tanpa kefahaman yang betul tentangnya. Justeru pembentukan umat yang hebat bermula dengan ilmu serta kefahaman. Menggunakan ungkapan lain ia bermaksud kesemuanya bermula dengan minda.

Justeru, minda merupakan gapura atau pintu gerbang kepada segala kehebatan.

Manusia vs Jin

Manusia vs Jin

Manusia vs Jin

Manusia dan jin dicipta untuk
mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dengan mematuhi
segala titah perintah Allah serta menjauhi segala larangan-Nya. Semua makhluk ciptaan Allah tidak terlepas daripada tuntutan ini.

Allah menetapkan: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Surah al-Zariyat 51: 56)

Jin merupakan makhluk Allah yang diberi tanggungjawab memperhambakan diri kepada Allah seumpama manusia. Jadi, jin sama dengan manusia dari sudut keimanan dan kekufuran. Sebab itulah terdapat dalam kalangan jin golongan yang Islam, soleh, kafir, fasiq, munafik dan sebagainya.

Allah menjelaskan: “Dan sesungguhnya antara kami (jin) golongan yang soleh dan ada pula yang sebaliknya. Kami menempuh jalan yang berbeza beza.” (Surah al-Jinn 72: 11)

Tanah Tempat Berpijak

Allah mengingatkan manusia agar jangan lupa asal usul penciptaannya. Tanah yang difahami secara umum merupakan tempat berpijak semua benda hidup. Keadaan ini mendidik manusia agar tidak berasa bongkak dan bangga diri dengan segala kelebihan yang dimiliki.

Kebanyakan ulama menisbahkan penciptaan manusia daripada tanah itu merujuk kepada keturunan Nabi Adam. Said Hawa menjelaskan bahawa tanah menjadi asal usul penciptaan manusia. Ia bermula daripada sumber makanan yang nutriennya diambil daripada tanah. Lalu makanan ini diserap ke dalam darah dan sebahagiannya membentuk air mani. Maka air mani inilah yang menjadi permulaan dalam proses persenyawaan sehingga membentuk manusia.

Jin yang Ingkar

Makhluk yang ingkar dan derhaka daripada kalangan jin disebut sebagai iblis. Al-Quran menyatakan dengan jelas: “Lalu mereka sujud melainkan iblis, ia berasal daripada golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya.” (Surah al-Kahf 18: 50)

Perkataan iblis disebut dalam al-Quran sebanyak 11 kali. Manakala kisah Adam bersama iblis pula disebut oleh Allah di tujuh tempat dalam al-Quran.

Antaranya, Allah berfirman: “‘Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam’. Lalu mereka sekaliannya (malaikat) tunduk memberi hormat melainkan iblis; ia enggan dan takbur.” (Surah al-Baqarah 2: 34)

Dalam ayat ini Allah telah menceritakan permulaan kesesatan iblis apabila enggan menurut perintah Allah iaitu sujud kepada Adam. Sujud yang dimaksudkan di sini adalah sujud sebagai tanda memuliakan, bukannya sujud tanda pengabdian.

Iblis mengungkit asal kejadiannya daripada api yang kononnya lebih mulia daripada asal kejadian Adam iaitu tanah. Api mampu melonjak tinggi dan bercahaya lebih mulia daripada tanah yang bersifat pasif pada sudut pandangan iblis.

Inilah analogi yang telah diberikan oleh iblis. Malangnya analogi tersebut salah!

Dalam al-Tafsir al-Munir disebut bahawa kebaikan tidak boleh dinilai berdasarkan unsur material, sebaliknya ia dinilai berdasarkan unsur maknawi yang lebih berfaedah seperti ilmu yang dikurniakan oleh Allah kepada Adam.

Akibat kesombongan dan kesesatan iblis, Allah telah mengusirnya dari syurga. Namun iblis memohon supaya dia diberi tempoh hayat sehingga berlaku kiamat kerana mahu menyesatkan manusia.

Dek Bongkak

Menurut al-Suyuti dalam al-Durr al-Manthur, pada suatu ketika, Allah memerintahkan iblis mengetuai para malaikat untuk memerangi segolongan jin yang melakukan kerosakan di bumi. Lalu, mereka berjaya diusir ke pulau-pulau dan bukit bukau. Iblis merasa bongkak atas kejayaannya itu.

Justeru, punca yang menghalang iblis daripada sujud kepada Adam adalah sifat bongkak. Dia merasa dirinya jauh lebih baik daripada Adam: “Iblis menjawab: ‘Aku lebih baik daripada Adam, Engkau jadikan aku daripada api sedangkan dia daripada tanah.’” (Surah al-A‘raf 7: 12)

Seterusnya iblis dengan angkuh mengisytiharkan permusuhan yang abadi dengan manusia: “Demi kekuasaan-Mu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semua. Kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas antara mereka.” (Surah Sad 38: 82-83)

Allah telah memberikan keizinan kepada iblis untuk mempunyai usia yang panjang. Oleh yang demikian, boleh dikatakan bahawa ciri yang paling utama pada iblis ialah dia kekal hidup hingga hari kiamat.

Syaitan Ada Dendam

Manakala syaitan pula adalah golongan yang ingkar daripada kalangan jin dan manusia. Allah berfirman: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada sesetengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya.” (Surah al-An‘am 6: 112)

Menurut al-Raghib al-Asfahani dalam Mufradat Alfaz al-Qur’an, perkataan syaitan bermaksud “menjauhkan”. Oleh itu, syaitan terdiri daripada golongan jin dan manusia yang cuba menjauhkan serta menyesatkan hamba Allah daripada memperhambakan diri kepada-Nya dengan pelbagai cara dan tipu daya.

Syaitan dalam kalangan jin ialah anak cucu kepada iblis. Mereka sentiasa berusaha menyesatkan manusia. Semua itu semata-mata membalas dendam kerana nenek moyang mereka iaitu iblis diusir dari syurga ekoran keengganannya untuk sujud kepada Nabi Adam.

Allah berfirman: “Iblis berkata: ‘Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyesatkan aku, (maka) sesungguhnya aku akan bersungguh-sungguh menghalang mereka (daripada mengikut) jalan-Mu yang lurus.’” (Surah al A‘raf 7: 16)

Menurut Ibn Qayyim, maksud “jalan yang lurus” dalam ayat di atas ialah Islam kerana ia jalan yang membawa kepada Allah.

error: Content is protected !!