Menghadapi Ujian dengan Sabar dan Takwa

Sabar mungkin mudah untuk dilafazkan, tetapi sukar untuk direalisasikan apabila berhadapan dengan ujian atau musibah. Mungkin kita antara yang mengahafal maksud sabar dan jenis-jenisnya, namun mengapa kita tewas dan lemah apabila benar-benar berhadapan dengan ujian tersebut?

Yang membezakan antara orang berjaya dengan orang yang gagal aabila berhadapan dengan ujian adalah tingkatan takwa yang ada pada diri masing-masing. Ini kerana kesabaran menuntut kekuatan dalaman yang diperoleh melalui suntikan takwa. Tanpa takwa dan kekuatan dalaman, pasti kita akan tersungkur rebah.

Jika diamati, kita juga mengetahui maksud takwa dan tahap-tahapnya, namun mengapa kita gagal menerapkan makna takwa ke dalam diri? Dan mengapa kita juga gagal membina jambatan antara teori dan praktikal takwa itu sendiri?

Kaedah Ayat

Ayat ini berbicara tentang ujian yang dihadapi oleh Nabi Yusuf a.s. Baginda menghadapi dua ujian yang berat:

1. Baginda dizalimi oleh saudara-saudaranya sendiri. Merekalah yang membuang baginda daripada terus hidup bersama ayahanda tercinta; Nabi Ya’kub a.s. Mereka juga tergamak membuang baginda bersendirian ke dalam perigi buta yang bahaya. Baginda diuji seawal usia muda lagi.

2. Nabi Yusuf diuji dengan pujukan dan godaan seorang wanita yang berkehendakkan dirinya iaitu isteri al-Aziz. Namun baginda memilih untuk dipenjarakan daripada tunduk memuaskan hawa nafsunya sendiri. Baginda memilih seksaan dunia daripada mendapat seksaan Allah di akhirat nanti.

Jika kita bandingkan antara kedua-dua ujian di atas, ujian kedua sebenarnya lebih besar berbanding ujian pertama yang melanda dirinya.

Kenapa?

Ini kerana kesabaran menghadapi kezaliman saudara-saudaranya termasuk sabar terhadap musibah yang berkemungkinan ramai orang berjaya melaluinya. Namun kesabaran Nabi Yusuf a.s. ketika berhadapan dengan godaan dan pujukan isteri al-Aziz merupakan satu pilihan yang perlu disertai rasa takwa untuk menghadapinya.

Pilihan yang dibuat tanpa rasa takwa akan menatijahkan kesengsaraan jiwa. Cuba bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya kita berhadapan dengan situasi yang sama, tetapi tidak ada perasaan takut kepada Tuhan? Pasti kita akan kecundang membiarkan nafsu menjadi raja dalam diri kita sendiri.

Lihatlah cara Rasulullah s.a.w. tadabbur ayat ini dan menterjemahkannya dalam kehidupan. Baginda s.a.w. perlu menghadapi pembantaian kafir Quraisy, namun Baginda memilih untuk bersabar agar musuh tidak melakukan apa yang seharusnya mereka lakukan.

Pilihan untuk bersabar itu lebih besar dan berat. Namun itu adalah pilihan Nabi Muhammad s.a.w. dan umat Islam ketika itu untuk terus taat kepada Allah s.w.t. Inilah kesabaran yang lebih mulia.

Itulah kesabaran yang disertai perasaan diawasi oleh Tuhan, kesabaran yang mengangkat darjat dan kemuliaan seseorang, di samping diampunkan dosa kerana reda berhadapan dengan ujian yang diberikan.

Selain surah Yusuf, al-Quran juga menggandingkan perkataan sabar dan takwa pada ayat-ayat berikut dalam surah Ali ‘Imran:

Ayat 120 + Ayat 125 + Ayat 186 = Sabar + Takwa

Kenapa Digandingkan Sabar dengan Takwa?

> Hidup manusia tidak terepas daripada ketaatan dan ujian.

– Ketaatan kepada perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan larangan-Nya memerlukan takwa.

– Berhadapan dengan ujian dan musibah pula memerlukan sabar.

> Agar peluang terbuka.

– Menukarkan ujian menjadi peluan dan menghilangkan kesedihan diri.

Tadabbur Ayat

Melalui ujian kezaliman adik-beradik Nabi Yusuf a.s. ke atas dirinya, kita boleh pelajari bahawa hasad dan dengki sering kali terjadi kepada orang yang berebut kuasa, harta, pangkat pekerjaan, status sosial dan kasih sayang.

Oleh itu, jika kita diuji dengan ujian sedemikian, renung-renungkanlah kategori di atas agar kita tidak bertindak di luar batas keimanan.

Jika diamati ujian godaan dan pujukan isteri al-Aziz ke atas Nabi Yusuf a.s., kita boleh belajar beberapa perkara yang realistik elalui kaedah ayat al-Quran tersebut, iaitu:

1. Medidik Jiwa

– Kita dapat mendidik jiwa agar sentiasa bertakwa dan bersabar daripada melihat gambar atau video pornografi yang boleh menyebabkan hati nurani sakit dan rosak.

– Ini kerana gambar dan video sebegitu umpama seseorang yang menggoda kita untuk melakukan kemungkaran.

2. Mengawal Diri Sendiri

– Kita harus mengawal dan menasihati diri sendiri agar selalu bertakwa kepada Tuhan.

– Tanpa takwa, kita akan tersungkur layu di pintu hawa nafsu.

3. Bersungguh-Sungguh

– Bersungguh-sungguh menjauhi gambar dan video yang diharamkan kerana anasir ini boleh menggelapkan hati.

– Peliharalah hati agar sentiasa disinari cahaya keimanan, ketenangan dan kerehatan yang berkali ganda nikmatnya berbanding berkali-kali elihat dan menonton sesuatu yang haram.

– Usaha ini juga termasuk dalam tuntutan sabar dan takwa seperti yang disebut melalui ayat di atas.

error: Content is protected !!