Seni Cerita Kerana Cinta

“Mereka dibom oleh pemimpin mereka sendiri. Saya tak boleh nak faham kenapa ia berlaku!” kata salah seorang peserta kelas The Art of Story Telling semalam.

Kelas berakhir dengan pembenangan oleh setiap peserta. Setiap peserta mesti bercakap dengan nada bercerita. Ini suatu keperluan dalam dunia story-telling. Daripada 25 orang yang hadir untuk bab 1 hingga 3 pada April lalu, tinggal 16 orang sahaja yang dapat turut serta pada sesi sambungan kali ini.

Saya ambil kesempatan untuk bercakap tentang Syria sewaktu perjalanan kami menghantar bantuan kemanusiaan pada Ramadan dan musim haji lepas. Dalam hati saya, dapat bercakap tentang keindahan misi kemanusiaan ini secubit pun jadilah, memandangkan saya seorang sahaja yang terlibat dengan misi begini dalam kalangan peserta.

Tukang Cerita Berpengaruh

Sewaktu kelas sesi pertama daulu, guru kami bercakap tentang seorang tukang cerita paling berpengaruh di dunia. Menurutnya, beliau tidak pernah berjumpa tukang cerita tersebut, cuma selalu baca kisahnya sahaja. Ceritanya bersepah ditulis di segenap sudut dunia.

Kata beliau lagi, “The one and only, Muhammad the Prophet…

Saya ternganga.

Bagaimana seorang individu yang berbeza agama boleh mengagumi seorang Rasul yang secara zahirnya dia tidak percaya, namun tidak berhenti-henti pula memujinya.

Semasa guru kami sedang bercerita tentang kemuliaan Nabi Muhammad, beliau menjelaskan bahawa Rasululah dianggap sebagai manusia yag penuh sopan, sangat menghormati orang lain dan sentiasa dikagumi penyampaiannya. Sikap Baginda ini sama sahaja tidak kiralah semasa Baginda bersembang dengan sahabat atau individu yang tidak dikenalinya.

Beliau menjelaskan lagi, “Dia bukan malaikat. Allah telah persiapkan Baginda dalam bentuk manusia yang kita semua boleh contohi, boleh ikuti dan boleh teladani. Itu antara kehebatan Allah yang saya kagumi. Kita ini pun manusia juga, jadi kita boleh buat apa-apa sahaja yang Baginda buat.”

Ayat ini sangat kuat dan berat.

Tanpa sedar, air mata saya megalir perlahan ke pipi. Graham menghulurkan sehelai tisu kepada saya.

Manusia Didik Manusia

Jujurnya, saya bersetuju dengan guru kami. Ada sebab Allah hantar seorang manusia untuk mendidik hati manusia. Allah boleh sahaja menghantar malaikat untuk beri kita panduan, namun tidak. Allah tetap menghantar Nabi Muhammad yang lahirnya sebagai manusia yang bernafas, kemudian wafat juga sama seperti manusia lain.

Yang buat saya betul-betul sebak ialah cara mereka yang sangat berlapang dada menerima seseorang yang dijadikan contoh teladan. Logiknya mereka tidak perlu berbuat begitu. Mereka tidak beriman pun dengan kerasulan Nabi Muhammad.

Saya terus menuju ke beberapa perpustakaan untuk mencari jawapan. Bagaimana mereka boleh kenal Rasulullah? Rupa-rupanya, terdapat begitu banyak buku berbicara tentang Nabi kita. Bahkan mereka kaji sehingga ke tahap bagaimana kisah dan sirah ini tersebar ke seluruh pelosok dunia dengan kisah yang sama.

Mencari Jawapan

Sekitar bebearapa tahun lepas, dalam sesebuah kuliah, saya bertanya kepada seorang ustaz, “Ustaz, semasa Nabi membelah bulan menjadi dua bahagian, bagaimana prosesnya? Ia mesti melalui kesukaran kan ustaz?”

Sebelum ketawa berdekah-dekah ustaz itu menjawab dengan sinis, “Dia Nabi, susah menda, lainlah kamu yang belah.” Jemaah lain turut ketawa beramai-ramai. Dan saya rasa amat kecewa dengan jawapan tersebut.

Kuliah Israk Mikraj itu berlalu tanpa jawapan yang saya mahukan…

Saya mahu tahu keranan saya manusia biasa. bagaimana keadaan seorang Rasul yang sangat disayangi Allah, diuji kemampuannya untuk membelah bulan dan memberi percaya kepada golongan-golongan yang menolak dakwahnya?

Ia bukan proses kecil. Ia simbolik keupayaan seorang Nabi yang Allah telah lantik!

Pada tahun yang sama, saya menerima tajaan daripada seseorang untuk menunaikan umrah. Alhamdulillah, semasa berada di Madinah, saya temui jawapannya dalam buku When the Moon Split, tulisan Safiyyur Rahman al-Mubarakpuri.

Tujuan Story-Telling

Saya mengenali Nabi bermula daripada ibu bapa saya sendiri, kemudian ia beralih kepada Ustazah Rainah yang menjadi guru agama kami. Kemudian kepada Ustaz Tajudin yang mengajar mengaji. Dari situ bermula sesi mengenal hadis, sunnah serta mendapat hadiah hantaran senaskhah sirah Nabi semasa bernikah dahulu.

Nabi adalah susuk paling bertenaga dalam menyampaikan sesuatu. Ia pakej paling lengkap yang saya pernah dengar dan percaya seperti kata Stanley Lane Pole dalam The Table Talk of the Prophet:

“Baginda seorang pelindung yang setia, yang manis bicaranya dan mudah membuat orang bersetuju dengan apa-apa yang diperkatakannya. Sesiapa yang memandangnya, akan berasa hormat kepadanya. Sesiapa yang mendekatinya akan jatuh cinta kepadanya. Orang yang menceritakan tentangnya akan berkata, ‘Aku tidak pernah melihat orang sepertinya sebelum dan selepas ini.’ Baginda tidak bercakap banyak, namun apabila Baginda bercakap sahaja tentang sesuatu, tidak ada yang dapat melupakan apa-apa yang baginda katakan…”

Kawan-kawan,

Story-telling adalah dunia penceritaan. Ia mesti memberi tiga perkara kepada pembaca, pendengar atau penonton:

1. Ilmu pengetahuan

2. Hebahan

3. Contoh tauladan

Ia teknik penyampaian yang sangat kuat dan dipercayai dapat mengubah apa-apa suasana dan di mana-mana jua.

Allah menurunkan al-Quran dalam bentuk penceritaan.

Rasul juga menyampaikan sesuatu dalam bentuk penceritaan.

Para ulama juga saa.

Sampailah kita sendiri mahu memberi sesuatu ilmu kepada anak-anak, kawan-kawan dan masyarakat juga dalam bentuk bercerita, barulah menarik.

Seni Penceritaan

Semalam, semasa sesi penutup keals, saya beritahu kepada kawan-kawan dan guru, “Hari ini, begitu ramai orang bercakap dan menulis di media sosial tentang kisah orang, peristiwa, produk atau apa-apa sahaja. Ada yang memberikan impak yang positif dan ada yang sebaliknya.” Dunia penceritaan makin digemari. Namun aoa yang membimbangkan, adakah orang ramai mengambil iktibar sebagai sempadan dan tauladan dalam kehidupan?

Hari ini, kebimbingan adalah sebuah simbolik peperangan kita semua. Kita lebih suka bercakap tentang dunia gimik murahan yang tidak punya had.

Televisyen memanipulasi dunia bercerita hanya dengan model susur artis kebaratan. Yang kisahnya sekadar tentang joget, lagu serta lirik. Lalu ia tular di dua medan dan kedua-duanya itu sekadar memberi kepuasan hiburan, yang berpusing sekitar 24 jam. Ia kemudiannya hilang begitu sahaja, sebelum diganti lagi dengan nafas yang baharu, namun sama bentuk seperti sebelumnya.

Lalu kita ini seperti dihiasi mabuk dan mengikut sahaja apa-apa yang terbentang di dua medan itu, Facebook dan Instagram. Kita tercari-cari cerita viral yang melibatkan mereka yang tidak perlu, tiada nilai untuk dicontohi dan sudah semestinya kisah-kisah itu akhirnya memadamkan api kasih sayang, lalu terhamburlah kata-kata kesat apabila melihat gelagat dan aksi kebodohan generasi zaman ini.

Nabi memulakan semuanya dengan bercerita kepada isterinya, saat Baginda menggigil ketakutan setelah bertemu malaikat. Nabi bercerita dengan baik, lalu isterinya memahami dan mengikutinya. Kisah itu dianggap sebagai permulaan dalam 1001 lagi kisah Baginda. Hingga kini ia menjadi ikutan dan teladan untuk kita semua.

Ia adalah pakej dan proses yang lengkap. Berulang, namun datang dalam bentuk yang berbeza. Yang kita perlu buat hari ini adalah menyambung semua ini untuk memberi impak positif kepada semua yang lain.

Walau dalam bentuk berperang, mahu melawan, berhujah dan berdiri untuk mendapatkan hak, ia perlu datang dalam acuan yang mesti memberi impak baik di hujungnya. Dan itulah yang dinamakan sebagai The Art of Story Telling.

error: Content is protected !!