Perginya Mendiang Nenek

Pada tahun 2016, nenek saya meninggal dunia. Lalu saya pun menulis di wall Facebook saya:

“Nenek saya baru sahaja meninggal dunia, mendiang akan diuruskan di Chaah, Segamat.”

Lalu ramailah yang marah-marah mempersoalkan tindakan saya menggunakan perkataan mendiang. Siap ada yang memaki hamun dan melontarkan kata-kata kesat kepada saya. Saya pun terus berusaha menjawab satu demi satu.

“Ye, nenek saya bukan beragama islam.”

Barulah mereka semua mendiamkan diri. Itu belum lagi yang menghantar mesej peribadi yang memarahi saya sehingga ke tahap menyuruh saya mengucap syahadah memperbaharui iman saya. Semuanya berpunca daripada sikap kita yang tidak mahu bertanya, tidak mahu hormat dan begitu lekas menuduh yang bukan-bukan.

Hanya Kerana Berbeza

Saya lalui ini semua bukan sahaja pada umur sekarang. Bahkan sewaktu kecil dulu, sama sahaja. Pantang ada kesilapan yang berlaku, akan mulalah ejek-mengejek tentang bangsa emak dan sebagainya. Ia menjadikan suasana harmoni itu tenggelam begitu sahaja. Kita pula yang jadi naik marah dan sebagainya.

Orang kita, asal nampak sahaja berbeza, mulalah muncul bibit-bibit benci. Sedangkan jika dilihat dalam-dalam, perbezaan itulah yang menjadikan kita saling kenal, saling berkasih sayang.

Emak saya meninggalkan tanah Chaah pada pertengahan tahun 1969, kemudian ke Pahang membina keluarga dengan abah saya.

Sewaktu itu, abah antara orang yang dianggap berani kerana berjaya mengubah pemikiran orang kampung dengan mahu bernikah dengan wanita bukan sebangsa, bukan seagama! Ia suatu perubahan total yang dilakukan oleh orang biasa. Pada zaman tersebut, menikah dengan yang bukan sama bangsa adalah sebuah kejadian yang bikin melopong dan ternganga mulut kita semua.

Lebih-lebih lagi, pada waktu itu belum ada media sosial. Jika ada, tidak tahulah bagaimana mahu berhadapan dengan suasana hiruk-pikuk sebegitu. Saya tulis kisah emak abah ini dalam naskhah Emak Rindu Mathanga Erissery; cerita yang saya jadikan sebagai panduan untuk bersabar dalam menjalani kehidupan setiap hari. Ia benar-benar membetulkan jiwa, menjadikan saya sendiri seorang yang banyak berfikir sebelum bertindak.

Stereotaip Masyarakat

Orang kita cepat benar sensitif dengan perkara yang berbeda-beda. Lantas dengan laju juga memberi nasihat yang bukan-bukan. Antara pesanan yang kami simpan baik-baik ialah pesanan yang disampaikan kepada emak sewaktu mahu ziarah keluarganya semasa perayaan Diwali. Antara kecaman yang diterima juga yang bukan-bukan adalah seperti mencipta rasa takut untuk makan dan minum di rumah nenek kami. Itu belum lagi dikira, ada yang bertanya cara untuk menunaikan solat, menggunakan bilik air dan sebagainya.

Asasnya ialah emak mahu berjumpa adik-beradiknya. Pada waktu perayaan sahajalah emak ada kesempatan berbuat begitu. Begitu juga perasaan seorang anak yang ingin melihat ibunya sendiri walau bukan sama agama.

Kami sebenarnya sudah terbiasa menziarahi nenek di kampung. Solat di dalam rumah tersebut, mandi, makan dan minum, semuanya sama sahaja. Tidak ada bezanya. Lebih daripada itu, keluarga emak (yang bukan beragama Islam) sangat memahami semua ini.

Malah, mereka kumpulkan semua patung dewa dewi mereka ke dalam sebuah bilik, kemudian sediakan untuk kami bilik-bilik yang sangat bersih untuk kami diami. Yang paling kami bersyukur ialah sejak emak menjadi Muslim, mereka membeli daging lembu, kambing, kerbau, ayam atau itik yang mahu dimasak dari pusat sembelihan atau pasar orang Islam. Ia untuk memudahkan kami semua dapat selalu menziarahi mereka.

Apabila kita selalu bercerita tentang kisah kebaikan kepada mereka, merka akan faham. Dan kita juga kene faham…

Perginya Mendiang Nenek

Tiga tahun lepas, nenek pergi meninggalkan kami semua. Emak kami sampai sesudah maghrib. Beliau berjalan perlahan-lahan keluar dari kereta, kemudian duduk di tepi keranda yang terbuka.

Emak mengusap-usap perlahan tangan ibunya. Air mata turun juga perlahan-lahan. Lama emak duduk dan menghadap betul-betul wajah ibu yang melahirkan dan membesarkannya.

Saya lihat kasih sayang itu adalah kasih sayang yang sama. Beliau mengasihi, menyayangi, mencintai ibunya itu sama seperti ibunya menyayanginya. Anak-beranak ini hanya berbeza agama, namun perubahan itu tidak mengubah cara mereka saling menjadi anak-beranak.

Kawan-kawan, Untuk kekal hidup dalam suasana yang saling bertolak ansur; saling menghormati sesama kita, tidak kiralah berlainan bangsa atau agama, saya sangat mencadangkan kita semua lakukan perkara berikut:

1. Mengembara dan bina jaringan hubungan dengan orang asing. Apabila kita sudah pulang, pastinya kita lebih mudah berlapang dada dalam hal-hal berbeza agama dan budaya.

2. Perbanyakkan bergaul dengan jiran, orang ramai dan sentiasa kelilingi dengan pelbagai kelompok dan ragam manusia.

3. Banyakkan membaca tentang budaya luar. Ketahui dan selang-selikan dunia menelaah dengan mendapatkan bacaan dari luar negara hasil karya penulis luar negara. Lain penulis, lain coraknya.

4. Saling membantu sesama jiran. Ketahui apa yang berlaku di sekeliling. Dengan banyak menolong, Tuhan memberi keluasan hati. Tidak memilih dan langsung tidak kisah siapa insan yang dibantu.

5. Elakkan bergaul dengan kaki rasis. Sekiranya mereka suka melabel bangsa-bangsa tertentu, tegur terus.

6. Elakkan juga membaca akhbar atau media yang bersifat membangunkan satu-satu bangsa dengan membandingkannya dengan bangsa lain. Ia juga memudaratkan.

7. Banyak-banyak berlapang dada. Buatlah kajian serba sedikit tentang budaya dan kehidupan bangsa lain. Sejak berpuluh tahun kita tinggal bersama dengan kelompok yang berbeza bangsa di negara kita ini, pernahkah kita menaip perkataan “chinese culture” atau “indian culture” pada enjin carian?

Sedang mereka berusaha berbahasa Melayu dengan baik, kita pula berundur dan taut-takut untuk mendekati mereka.

Begitulah…

Perbezaan ini sepatutnya menjadikan kita lebih saling hormat. Dan dari situlah terbitnya rasa bertolak ansur dan saling berkasih sayang. Hidup pun akan lebih aman dan bahagia.

error: Content is protected !!