Pemimpin Mulia Yang Dihina

Lahirnya di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang dalam masyarakat Arab jahiliah yang amat buruk budaya hidup dan akhlak. Dari saat kelahiran, hidupnya tanpa figura bapa sebagai contoh teladan, pembimbing dan penggalak.

Kemudian seorang demi seorang insan yang membelainya dijemput Allah s.w.t. bermula dengan ibu tersayang dan diikuti datuk yang menjaganya umpama anak. Usia remajanya dihabiskan dengan kesusahan mengembala kambing dan berniaga agar pintu rezeki terselak.

Kemuncaknya apabil bapa saudara meninggal dunia, disusuli isterinya yang sekian lama tekun menghiasi teratak. Itu belum diambil kira kesemua anak-anaknya (kecuali seorang puteri) yang meninggal dunia di hadapannya sehingga kering air mata menangis sebak.

Kekasih Allah

Selawat dan slaam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., kekasih Allah s.w.t. yang merupakan penutup bagi segala nabi dan rasul.

Sungguh, sesiapa pun tidak dapat membayangkan susuk tubuh yang diuji sehebat ini mampu bangun dan terus berjuang. Sehingga diiktiraf sebagai pemimpin terbaik yang pernah hidup di atas muka bumi ini. Baginda mula membawa risalah dengan hanya seorang diri. Hasil kepimpinannya terserlah apabila berjaya meluaskan jangkauan pengaruh risalah sehingga memayungi dua pertiga dunia.

Kita mungkin melihat rentetan kesusahan yang dilalui Baginda sebagai ujian dan cabaran. Namun, semua rantaian peristiwa tersebut adalah susunan Yang Maha Esa bagi menyiapkan kekasih-Nya menjadi manusia dan pemimpin terbaik yang pernah disaksikan dunia.

Bukan sahaja pada usia muda, malah ketika mula dilantik sebagai rasul pada usia 40 tahun, cabaran dan dugaan yang terpaksa dihadapi Baginda jauh lebih getir dan mencemaskan berbanding sebelumnya.

Ancaman adalah Lumrah Kepimpinan

Baginda dicaci dan dimaki dengan kata-kata kasar dan kesat. Ditabur najis, dilempar batu, bahkan sehingga leher mulia Baginda dijerut kuat. Dipulau kaumnya bertahun-tahun, diugut dengan ancaman bunuh sehingga terpaksa meninggalkan kampung halaman, saudara juga kaum kerabat.

Setibanya di Madinah, perang demi perang yang dilalui persis ajal yang mendekat. Dipukul dan dilukai, diracun pula oleh wanita Yahudi, tidak sedikit pun ketakutan Baginda terlihat.

Baginda akhirnya dijemput Ilahi hanya setelah risalah yang diperjuangkan menjadi hebat. Jika kita benar-benar mengkaji dan meneliti sirah Baginda yang mulia, kita akan mendapati bahawa Baginda dicipta bukan seperti manusia biasa yang lain.

Bayangkan dengan segala bebanan tanggungjawab yang dipikul, Nabi bertindak sebagai ketua keluarga, pemimpin masyarakat dan ketua negara, diuji pula dengan ancaman musuh yang melanda. Tidak mungkin seorang manusia yang tidak dipandu wahyu dan dididik terus dari langit mampu menghadapinya dengan berjaya.

Ternyata Baginda istimewa. Contoh teladan yang sempurna.

Musuh Terus Mencaci

Bagindalah model terbaik yang akan terus kekal sehingga hari kiamat. Begitulah juga halnya dengan musuh yang tidak putus-putus terus menghina walaupun tubuh mulia Baginda telah bersemadi aman di pusara syurga.

Antara penghinaan terhadap Nabi:

1. Terbaharu, seorang lelaki Cina berusia 52 tahun yang merupakan warganegara Malaysia mempersenda perkahwinan Rasulullah s.a.w. dengan Aishah dengan tuduhan yang amat jahat dan penuh kebencian melalui laman sosial Facebooknya.

2. Sebelum itu, kes yang sama pernah berlaku di Austria apabila seorang wanita berusia lewat 40-an membuat dakwaan dalam dua seminar awam pada tahun 2009 bahawa perkahwinan Nabi Muhammad s.a.w. dengan Aishah r.h.a. sebagai perbuatan pedofilia.

3. Selain itu, majalah tabloid Perancis, Charlie Hebdo juga pernah menggemparkan dunia apabila berkali-kali menghasilkan karikatur yang cuba menggambarkan dan menghina Rasulullah s.a.w.

Aduhai, alangkah kasihannya mereka semua! Sudahla jauh daripada hidayah, kecintaan umat kapada kekasih Allah s.w.t. ini ula cuba digugah. Ternyata kesemua kes penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w. yang berlaku berjaya menyatukan seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Ya, ia memercikkan amarah. Namun selain itu, ia menambahkan rasa kasih kita kepada junjungan besar Rasulullah s.a.w. serta iltizam kepada sunnah yang ditinggalkan oleh Baginda. Tambahan pula jika dibandingkan dengan segala kesusahan dan cabaran yang terpaksa dihadapi Baginda sepanjang kehidupan, perkara ini amatlah kerdil dan kecil kesannya.

SEMUA PEMIMPIN SENTIASA BERHADAPAN DENGAN MUSUH YANG AKAN BERUSAHA SEHABIS UPAYA UNTUK MEMBURUKKAN STATUS DAN MENGUBURKAN AGENDA YANG DIBAWA SECARA PSIKOLOGI MAHUPUN FIZIKAL.

Pemimpin Sentiasa Berhadapan Musuh

Pengajaran lain yang dapat kita ambil ialah semua pemimpin akan sentiasa berhadapan dengan musuh yang akan berusaha sehabis upaya untuk memburukkan status, menjatuhkan maruah dan menguburkan agenda yang dibawa secara psikologi mahupun fizikal.

Jadi, proses pembangunan diri dan pembinaan pemimpin haruslah dilaksanakan dengan mengambil kira hakikat ini.

Tanpa musuh, kesabaran dan kehebatan pemimpin tidak teruji. Tanpa ancaman, tugas mengembangkan risalah Islam pasti aman dan sunyi. Tanpa ujian kesusahan, mana mungkin kita peroleh pahala untuk menjejak syurga Ilahi!

error: Content is protected !!