Iman di Hati, Syirik ke Tepi

Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Sedangkan mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuahn Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan.” (Surah al-Tawbah 9:31)

Allah memerintahkan dua perkara berikut; satu perlu dilakukan, manakala satu lagi perlu dijauhi: “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut.” (Surah al-Nahl 16:36)

Manusia dijadikan oleh Allah untuk mengabdikan diri hanya kepada-Nya. Perbuatan syirik amat bertentangan dengan tugas pengabdian yang diperintahkan oleh Allah ini. Hal ini kerana syirik merupakan perbuatan menyekutukan Allah dalam apa-apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan mahupun iktikad iaitu dengan menjadikan makhluk sebagai sekutu bagi Allah.

Firman Allah: “Da (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Surah al-Zariyat 51:56)

Sayyid Qutb dalam Fi Zilal al-Qur’an menyatakan bahawa ayat yang pendek ini mengandungi hakikat terpenting dalam kejadian alam dan hidup manusia.

Sedar Hakikat Diri

Benar apa yang dikatakan oleh Sayyid Qutb, jika seseorang manusia tidak tahu hakikat kejadiannya, bermakna dia tiada pedoman hidup. Dia akan menganggap kehidupan ini sekadar memenuhi kehendak naluri dan nafsu semata-mata. Hubungannya dengan manusia dan alam sekitar tidak lebih daripada untuk memenuhi kehendak sosial.

Berbeza pula dengan individu yang menyedari bahawa dia hanya hamba kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Dia akan sedar hakikat diri dan matlamat hidup, bahkan tahu sama ada segala tindakannya sesuai dengan konsep ibadat kepada Allah atau sebaliknya.

Persoalan seumpama inilah yang menjadi kunci kepada kesedaran tentang hakikat kejadian diri sesorang sebelum dia menyedari hakikat-hakikat yang lain. Jika manusia menyedari kedudukannya sebagai hamba Allah yang lemah, pasti dia mampu menyelami kedudukan Allah Yang Maha Gagah.

Amat malang jika seseorang manusia bangun pada waktu pagi hanya sekadar mencari rezeki untuk makan minum dan mengecap nikmat keduniaan semata-mata tanpa memikirkan soalan-soalan berikut:

1. Siapakah yang memberikan nyawa?

2. Siapakah yang membuka pintu rezeki?

3. Apakah tugas kita sebagai manusia?

Allah Ada, Ada Tanda

Fitrah manusia sentiasa mengajak kepada keimanan kepada Allah. Ia bukan sekadar wujud dalam bentuk naluri dalam diri manusia sebagaimana yang dinyatakan oleh ayat-ayat tadi, tetapi ia turut dirangsang oleh logik akal yang dikurniakan oleh Allah kepada kita.

Tanpa pelajaran dan pembelajaran pun, akal manusia mampu mengaitkan kejadian alam ini dengan Penciptanya. Atas dasar inilah kita dapati seorang Arab Badwi memberi jawapan ini apabila ditanya tentang kewujudan Allah:

“Tahi unta menunjukkan adanya unta, kesan tapak kaki menunjukkan ada pejalan kaki, justeru langit yang dihiasi” bintang-bintang, bumi yang penuh dengan jalan-jalan yang luas dan lautan yang tidak pernah sunyi daripada gelora, adakah semua itu tidak menunjukkan kewujudan Yang Maha Esa?”

Keimanan kepada Allah bukan hanya sifat semula jadi manusia sahaja, sebaliknya ia juga sesuai dengan logik akal manusia. Oleh itu, al-Quran sering mengajukan persoalan-persoalan logik kepada manusia tentang kewujudan Allah sebagaimana dalam firman-Nya:

“Adakah merek telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya).” (Surah al-Tur 52:35-36)

HANYA ALLAH SAHAJA YANG LAYAK DISEMBAH DAN TIDAK BOLEH DISANGGAH. DIA LAYAK DISYUKURI, BUKAN DIKUFURI. HANYA DIA SAHAJA YANG PATUT DITAATI, BUKAN DIDERHAKAI.

Bukan Seperti Hamba Manusia

Persoalan-persoalan logik seumpama ini dapat dijawab dengan mudah oleh akal mausia yang sejahtera sekalipun dia tidak memiliki pelajaran yang mudah akan terfikir:

“Sudah tentu aku dijadikan oleh sesuatu. Sudah tentu aku tidak menjadikan diriku sendiri dan tidak pernah dalam sejarah dunia ada yang mendakwa dia yang mencipta langit dan bumi melainkan orang gila.”

Jika persoalan-persoalan logik ini terjawab dengan sebegitu mudah, ditambah lagi dengan naluri semula jadi manusia yang beriman kepada Allah, maka tiada alasan lagi bagi manusia untuk tidak beriman dan mentauhidkan Allah.

Perhambaan ini bukan seumpama perhambaan manusia sesama manusia sebagaimana yang telah berlaku dalam sejarah dunia suatu masa dahulu. Sebaliknya perhambaan ini adalah perhambaan suci kepadaAllah, Tuhan yang tidak berhajat kepada makhluk-Nya, bahkan Dialah yang menentukan segala rezeki dan nasib makhluk.

Allah menjadikan manusia bukan untuk mendapatkan manfaat daripadanya atau menolak kemudaratan sebagaimana yang diharapkan oleh tuan daripada hambanya. Allah Maha Kaya, Penentu segala rezeki. Allah memiliki segala kekuatan yang tidak tergambar oleh pemikiran manusia.

Justeru tiada apa yang diharapkan oleh Allah daripada makhluk yang lemah. Allah hanya meminta supaya kita beribadat kepada-Nya dengan ikhlas dan penuh keimanan.

Mantapkan Iman

Beriman kepada Allah merupakan perkara asas dan utama dalam kehidupan. Beriman kepada Allah mengandungi tuntutan beriman kepada wujudnya Allah, juga beriman kepada keesaan-Nya dari sudut rububiyyah dan uluhiyyah-Nya. Termasuk juga dalam tuntutan keimanan ini adalah beriman dengan nama-nama Allah yang baik dan sifat-sifat-Nya yang mulia yang lahir daripada sifat kesempurnaan serta bersih daripada segala kekurangan.

Hakikatnya, Islam tidak sekadar menekankan hanya beriman bahawa Allah wujud kerana ia sesuatu yang mudah diterima secara fitrah. Akan tetapi sesuatu yang agak sukar diterima oleh golongan yang ingkar dan kufur juga perlu mentauhid serta mengesakan Allah, mengimani bahawa bagi Allah memiliki segala kuasa mencipta dan memerintah, memelihara dan mentadbir segala urusan.

Hanya Allah sahaja yang layak disembah dan tidak boleh disanggah. Dia layak disyukuri, bukan dikufuri. Hanya Dia sahaja yang patut ditaati, bukan diderhakai.

error: Content is protected !!