Ibarat

Teruja Maisarah dengan hasil eksperimen sainsnya tentang pengaratan besi. “Paku mana tak berkarat?” tanya Puan Hazwani, guru Sainsnya. “Paku yang dibalut dengan plastik, dimasukkan ke dalam minyak dan digandingkan dengan logam yang lebih aktif daripadanya,” cepat-cepat Maisarah respons kepada soalan guru kesayangannya itu.

Besi Berkarat

Ya, itulah penyebab pengaratan besi iaitu kehadiran air dan oksigen yang bertindak balas dengan atom-atom besi untuk membentuk lapisan ferum oksida seperti hematit. Menariknya, besi akan berkarat akibat interaksi dengan bahan-bahan lain.

Contohnya, kalau terdedah kepada udara, ia akan bertindak balas dengan oksigen atau wap air untuk membentuk lapisan karat. Jadi, kaedah pecegahannya adalah dengan menyapu cat, minyak atau gris pada permukaannya. Menyadur lapisan kromium pada permukaan besi juga boleh mencegah pengaratan.

Pengaratan juga boleh disebabkan oleh kehadiran unsur lain yang kurang aktif daripadanya (berada di bawahnya dalam siri elektrokimia) seperti kuprum. Manakala kehadiran logam yang lebih aktif (contohnya magnesium), akan membantu mencegah pengaratan besi.

Sebab itu di sesetengah negara, paip-paip besi yang membawa petroleum dilindungi daripada berkarat dengan mengikat beg-beg magnesium pada jarak tertentu kepada paip-paip besi itu. Hasilnya magnesium yang akan terhakis, bukannya besi.

Ini juga diistilahkan sebagai “logam korban” – magnesium mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan besi! Nampaknya kakisan (istilah sains untuk pengaratan) besi ada kaitan dengan unsur-unsur atau sebatian lain.

Karat Hati

Begitu juga hati kita. Dosa itu ibarat karat dan antara penyebabnya ialah hasil hubungan kita yang (hablumminallah) atau sesama manusia (hablumminannas).

Mari kita lihat satu persatu. Besi akan berkarat apabila dibiarkan terdedah di udara. Hati? Ya, akan berkarat (diselaputi dosa) apabila terdedah kepada maksiat. Maksiat boleh wujud dengan pelbagai cara antaranya berkaitan dengan tempat yang kita kunjungi. Mengapa?

Ini kerana tempat tertentu menghadirkan insan-insan dengan perilaku tertentu. Cuba bayangkan, siapakah yang hadir di tempat-tempat berikut; pasar raya, stesen bas, pawagam dan pesta? Tentu kita boleh jangka siapa mereka, apatah lagi kalau disebut pusat hiburan atau kelab malam.

Lantaran itu, Allah menggalakkan kita berada di rumah-Nya (masjid), berbanding di pasar-pasar. Ini kerana, selain daripada kita terdedah kepada dosa melalui pancaindera (terutamanya pendengaran dan penglihatan), kita juga akan berinteraksi dengan individu-individu yang berisiko menjadi penyebab dosa kita.

Hati Besi

Pengaratan besi juga boleh dicegah dengan sistem perlindungan, saduran dan aloi. Analoginya, hati perlu ada sistem perlindungan daripada perbuatan dosa.

Apakah sistem perlindungan itu? Ilmu…

Berbekalkan ilmu, kita berupaya memilih cara dan perkara-perkara yang baik untuk difikir, diucap dan dilakukan. Bukankah untuk berjaya di dunia, akhirat dan kedua-duanya sekali, hanya dengan menjadi individu yang berilmu?

Usahalah untuk jadi orang yang berilmu. Kesannya, bukan sekadar kita boleh mencegah pengaratan pengaratan hati, tetapi boleh juga membantu orang lain. Jadilah seperti besi yang kuat dan boleh memberi manfaat kepada manusia:

“Dan kami turunkan atau ciptakan besi yang padanya mengandungi kekuatan yang hebat dan pelbagai faedah bagi manusia.” (Surah al-Hadid 57:25)

Namun, yang lebih menarik dalam isu pengaratan ini ialah interaksi besi dengan logam-logam tertentu. Ada yang akan jadi korban dan ada yang membuatnya terkorban. Masya-Allah!

BESI AKAN BERKARAT APABILA DIBIARKAN TERDEDAH DI UDARA. HATI, AKAN BERKARAT (DISELAPUTI DOSA) APABILA TERDEDAH KEPADA MAKSIAT.

Hebatnya ibrah yang Allah sediakan untuk kita walaupun melalui fenomena biasa seperti ini! Bagi sesiapa yang ingin mengambil manfaat daripada besi, akan berusaha mencegah pengaratannya. Kita? Boleh ambil ibrah.

Bagaimana?

Setiap hari, kita berinteraksi dengan insan lain. Ada yang membawa kebaikan dan ada yang menjadi penyebab kemusnahan. Ada yang membantu, ada yang membuntu! Kadang bukan setakat membuntu, tetapi menjadikan kita pula sekutu ke arah kemusnahan.

Nauzubillah!

Model Sahabat yang Agung

Justeru, kita diingatkan agar berhati-hati memilih kawan. Kalau berkawan dengan tukang besi, kita akan rasa kepanasan api. Kalau berkawan dengan penjual minyak wangi, kita dapat mencium wangi bahan jualannya.

Kadang-kadang kita dianugerahkan dengan kawan yang sanggup berkorban demi kebaikan kita. Pegang erat kawan tersebut, lantaran sukar untuk mendapatkannya. APabila terlepas, mungkin sukar untuk mendapatkannya kembali!

Sejarah pengorbanan demi keselamatan orang lain terpahat indah dalam liku-liku hidup para nabi, rasul, sahabat dan orang soleh. Tersentuh hati saat mengenangkan kisah Sayidina Abu Bakar yang mempertaruhkan diri dan nyawanya untuk bersama Rasulullah berhijrah ke Madinah. Itulah model sahabat yang agung!

Ada “logam yang berkorban”, ada juga logam yang mengorbankan besi. Ya, ada kawan yang membimbing kita ke arah kebaikan. Namun, ada juga kawan yang tanpa disedari, membawa kita kepada kemusnahan. Berhati-hatilah memilih kawan. Buat pilihan yang bijaksana. Agar kita bukan sekadar selamat di sini, tetapi selamat juga di sana nanti!

Manfaat Bukan Mudarat

Besi merupakan logam yang disebut dalam al-Quran. Diiktiraf sifat kekuatannya dan juga manfaatnya kepada manusia, namun tanpa penjagaan yang baik, ia boleh terdedah pada pengaratan (kemusnahan). Lantaran manusia yang ingin dapat manfaat daripadanya, maka manusia jugalah yang perlu menjaganya.

Dalam tubuh kita ada raja, penentu untung atau rugi nasib kita. Itulah hati. Ia juga boleh berkarat. Justeru, kita perlu jaga hati daripada berkarat, dirosakkan dengan dosa agar terus dapat jadi insan yang kuat dan bermanfaat.

Kaedahnya, sebagaimana juga besi, elak daripada terdedah (kepada maksiat), ada lapisan pelindung (ilmu) dan bergaul dengan orang yang baik. Elakkan pengaratan hati sebagaimana kita mencegah pengaratan besi agar kita terus kuat untuk menabur bakti, sebelum dijemput ke pangkuan Ilahi.

error: Content is protected !!