Hentikan Label Negatif

Budaya memberikan gelaran atau label buruk semakin membarah. Setiap hari, ada sahaja gelaran buruk yang dilemparkan kepada seseorang, terutamanya di media sosial. Bukan sekadar ahli politik, agamawan juga tidak terlepas daripada menjadi bahan label netizen.

Label yang diberikan selalunya atas dasar spekulasi atau sentimen tanpa bukti. Bahkan kebiasaannya label yang dilemparkan adalah secara sarkastik, bukannya untuk memberikan kritikan yang membina, tetapi untuk mengaibkan.

Melabel adalah suatu budaya yang akhirnya menyebabkan berlakunya perpecahan dalam masyarakat. Aib bukan lagi untuk ditutup dan dilindungi, tetapi dijadi-kan bahan ketawa dan gurau senda.

Kaedah al-Quran Menyatukan Masyarakat

Tema utama surah al-Hujurat adalah seruan untuk menyatukan dan mendamaikan masyarakat. Ayat 11 pula secara khusus menyatakan satu kaedah yang menyeru manusia agar tidak mengamalkan budaya label-melabel yang negatif.

Ayat ini bermula dengan larangan agar tidak memperolok dan mengejek orang lain sehinggalah tegahan daripada melabel orang lain dengan label yang buruk. Kaedah ini sepatutnya menjadi teras dalam pembinaan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu. Inilah acuan yang harus dibina dalam kalangan umat Islam yang bukan sahaja berbeza cara berfikir, tetapi berbeza cara berinteraksi.

Konteks Ayat

Asal usul larangan ini adalah kerana kebiasaan masyarakat jahiliah yang melabelkan seseorang dengan label-label tertentu mengikut perangainya. Maka ayat ini memberikan anjuran kepada orang yang beriman agar tidak meletakkan label-label yang buruk kepada orang lain.

Apa yang dituntut adalah:

– Menahan diri daripada sewenang-wenangnya melabel orang lain dengan label yang negatif sehingga menjadi bahan yang ditertawakan oleh orang lain.

– Menahan diri daripada berkata tentang sesuatu yang tiada kepastiannya dan tidak membuat spekulasi. Diam itu lebih baik daripada banyak berkata-kata tentang perkara yang sia-sia.

Label-Melabel Amalan Purba

Jika diamati ayat-ayat al-Quran, amalan melabel ini merupakan amalan purba yang dilakukan oleh umat terdahulu diberikan label-label yang buruk:

1. Nabi Muhammad – ahli sihir dan gila

2. Nabi Lut – dikecam berlagak baik

Lihatlah perangai label-melabel ini telah merencatkan fungsi akal yang sihat untuk berfikir secara rasional. Label digunakan setelah hujah sendiri tidak mampu ditegakkan lagi. Maka, untuk menutup aib sendiri, aib orang lain dibuka bagi mengubah perhatian orang ramai.

Selain itu, budaya label-melabel juga mematikan semangat adil dalam menilai kerana tumpuan diberikan kepada kesilapan yang kecil berbanding banyak kebaikan yang dilakukan.

Tadabbur Ayat

Ada beberapa perkara yang boleh dipelajari ayat ke-11 surah al-Hujurat ini:

1. Seruan yang bermula dengan “wahai orang yang beriman” menunjukkan sikap suka memperolok, mengejek, melabel dan menghina juga berlaku dalam kalangan orang yang beriman.

2. Jika dalam diri kita terdapat iman, tumpuan seharusnya diberikan untuk memperbaiki diri sendiri berbanding sibuk melihat, mencari dan membuka aib orang lain. Sikap suka melabel orang ini akan menyebabkan kita lupa dan alpa dengan kelemahan dan kesalahan yang dilakukan diri sendiri.

3. Antara sebab suka melabel orang lain dengan label yang negatif adalah kerana kita merasakan bahawa diri sendiri sempurna, lebih berilmu dan bijak daripada orang lain. Kita perlu sedar bahawa diri kita penuh dengan segala kekurangan, kesilapan dan kealpaan, bukannya mendabik dada menzahirkan kehebatan diri.

4. Melabel orang lain dengan gelaran yang buruk umpama meletakkan label tersebut pada diri sendiri. Jika kita berani meletakkan label negatif pada orang lain dan membuka aib mereka, ingatlah orang lain juga boleh melabel kita dengan label negatif yang sama.

Perbaiki Masyarakat

Ayat yang sedang kita tadabburkan ini mempunyai gagasan yang besar iaitu untuk memperbaiki tingkah laku masyarakat yang terdedah kepada budaya melabel dengan label yang negatif, jika dibiarkan akan terus membarah dalam diri dan berjangkit dalam masyarakat.

Oleh itu, ayat ini menyedarkan kita bahawa:

1. Manusia diberikan kelebihan anugerah lisan oleh Allah untuk berbicara dalam pelbagai bahasa dan berkomunikasi sesama manusia. Ia boleh digunakan untuk mencegah kemungkaran di tengah komuniti masyarakat dan ia juga boleh memecahbelahkan umat Islam kerana menurut kehendak syaitan dan hawa nafsu.

2. Ayat ini menyenaraikan beberapa bentuk kejahatan lisan. Slaah satunya adalah budaya memberikan label negatif kepada orang lain. lalu ayat ini turun menegah kita daripada berterusan mengamalkan budaya negatif ini agar masyarakat terpelihara dan dapat diperbaiki daripada menjadikan budaya ini sebagai suatu kebiasaan yang akhirnya memecah-belahkan masyarakat.

3. Terlajak perahu boleh diundur; terlajak kata buruk padahnya. Berhati-hatilah dalam berkata-kata. Jangan sampai kita menjadi orang yang muflis di akhirat nanti!

error: Content is protected !!