Mahu VS Perlu

Ayat di atas merupakan salah satu kaedah al-Quran yang mampu memberikan kesan yang mendalam bagi kehidupan individu yang memahami, mentadabbur dan mengamalkan isi kandungan al-Quran sebagai bimbingan dan petunjuk.

“Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu, padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu, sedangkan ia buruk kepada kamu. Dan hanya Allah yang mengetahui (semuanya itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah 2:216)

Kaedah ini sangat berkait rapat dengan keimanan kepada qada dan qadar. Konteks ayat ini adalah mengenai kewajipan berjihad di jalan Allah. Walaupun begitu, kaedah ini adalah kaedah umum kerana pada ayat yang lain, Allah berbicara mengenai keadaan suami yag menceraikan isterinya.

Allah berfirman “Jika kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, sedangkan Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah al-Nisa’ 4:19)

Jika diamati lafaz “padanya kebaikan yang banyak” merupakan tafsiran dan penjelasan bagi lafaz “boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan ia baik untuk kamu” pada surah al-Baqarah.

1. Ayat 19 surah al-Nisa’

Berbicara tentang perpisahan seorang suami dan isterinya serta derita emosi yang dialami oleh kedua-duanya disebabkan keputusan untuk berpisah.

2. Ayat 216 surah al-Baqarah

Didahului dengan tuntutan berjihad di jalan Allah yang menggambarkan kesakitan dan kecederaan fizikal yang dialami apabila berhadapan dengan musibah atau sesuatu yang tidak disukai dalam “peperangan kehidupan”.

Kedua-dua ayat al-Quran ini menggambarkan penderitaan fizikal dan jiwa yang bakal dialami apabila reda dengan keputusan Allah. Jika kita melihat dengan mata hati, pasti situasi yang berlaku akan selalu dilihat melalui neraca yang positif.

Membaca, memahami dan beramal dengan ayat ini akan menghadirkan ketenangan dan kebahagiaan jiwa.

Ini menyebabkan seseorang terhindar daripada kesedihan. Jika kita berhadapan dengan musibah tanpa melihat hikmah yag tersirat, kita akan terus mengeluh tanpa mengerti yang tersirat di sebalik keburukan yang menimpa.

Tadabbur Ayat

Ada beberapa perkara yang boleh dipelajari daripada ayat 216 surah al-Baqarah ini:

1. Meredah Ketentuan

Kadangkala, manusia perlu meredah ketentuan dan ketetapan Ilahi yang mungkin kita rasa amat pedih dan menyakitkan. Kita menyimpulkan bahawa ia takdir buruk daripada Allah yang memberikan kesan negatif. Sedangkan apa yang berlaku adalah takdir yang memberikan banyak kebaikan pada masa hadapan.

Kita sering melihat kesan jangka masa pendek, sedangkan mata hati akan melihat kesan jangka panjang melalui hikmah dan yang tersirat di sebalik yang tersurat. Mungkin hikmahnya tidak dapat dirasakan sekarang, tetapi ia mendatang pada masa hadapan. Semua itu terjadi tanpa kita sedari.

2. Baik dan Buruk yang Sebenar

Sebaliknya betapa ramai antara kita yang bertungkus-lumus untuk mendapatkan sesuatu yang dirasakan baik untuk kehidupan, namun di penghujung ia adalah satu keburukan yang kemudiannya ditangisi.

Aplikasi Kaedah Dalam Kisah al-Quran

1. Ibu Musa

Lihatlah keputusan ibu Nabi Musa yang menghanyutkan anaknya; Nabi Musa ke Sungai Nil setelah mendapat perintah Allah. Sekilas pandang ia tindakan yang menyebabkan ibunya mengalami ke-sedihan dan penderitaan kerana terpaksa berpisah dengan bayi kecilnya.

Hati ibu mana yang tidak tersentuh apabila terpaksa berpisah dengan anak yang pernah dikandungkannya? Bukan sahaja kesedihan, kebimbangan juga turut dirasai apabila terpaksa menghanyutkan anak ke sungai. Ada kemungkinan bayi tersebut akan tenggelam atau dimakan oleh binatang buas.

Namun kebergantungan kepada Allah mengatasi segala-galanya. Kisah kebimbangan Nabi Musa yang dihanyutkan melalui sungai akhirnya berakhir dengan kegembiraan, keindahan dan pujian apabila dijaga oleh isteri Firaun yang beriman.

2. Nabi Yusuf dan Nabi Ya’kub

Renungkan juga cara Nabi Yusuf terpaksa berhadapan dengan ujian yang sangat menyakitkan. Penderitaandemi penderitaan perlu dilalui. Tetapi pnghujung kisah baginda berakhir dengan pelantikan sebagai pembesar negara.

Begitu juga kisah Nabi Ya’kub yang terpaksa berpisah dengan Nabi Yusuf untuk satu tempoh masa yang panjang. Namun, mereka dipertemukan semula dalam kegembiraan yang nyata. kedua-dua nabi ini percaya bahawa Allah tidak memberikan apa yang kita mahu, tetapi memberikan apa yang kita perlu.

Bukankah ia adalah kaedah yang sama disebutkan dalam surah al-Baqarah, ayat 216?

Mahu VS Perlu

Kadangkala semakin kita menolak sesuatu yang tidak disukai, semakin ia mendekati. Pasti ada hikmah yang tersembunyi. Maka benarlah Allah tidak memberikan apa yang kita mahu, tetapi mengurniakan apa yang kita perlu.

Jelaslah bahawa hikmah mengajar kita erti bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Hari ini ungkin ia dilihat sebagai satu bentuk pengorbanan yang menyakitkan, tetapi pada masa hadapan ia mungkin kejayaan yang tidak dijangka.

Kenapa kita perlu mempraktikkan kaedah al-Quran ini?

– Kesedihan dan kemurungan dapat dihilangkan.

– Bersedia dengan segala kemungkinan yang berlaku. Boleh jadi nikmat hari ini menjadi ujian musibah masa hadapan.

– Ketetapan Allah sebagai satu bentuk kasih sayang-Nya. Contohnya, musibah agar kita selalu mendekati-Nya.

– Tawakal sepenuhnya kepada Allah setelah berusaha lakukan yang terbaik.

– Dapat keluarkan kita daripada zon sangkaan buruk kepada sangkaan baik.

ReSOLUSI

– Sentiasa melihat yang tersirat di sebalik yang tersurat supaya kita temui hikmahnya.

– Sentiasa bersangka baik dengan Allah dan bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

– Sentiasa yakin bahawa salah satu tanda kasih sayang Allah adalah Dia memberikan apa-apa yang kita perlu, bukan apa-apa yang kita mahu.

error: Content is protected !!