Organik VS Robotik

Pada zaman dahulu, generasi ibu bapa dan datuk nenek kita makan dan minum daripada sumber alam semula jadi. Ayam dan kambing dipelihara sendiri. Ikan dari sungai tepi rumah yang berprotein tinggi. Buah-buahan dan ulam-ulaman yang menjadi pelengkap gizi.

Mereka sihat dan gembira. Kehidupan mereka dahulu adalah kehidupan organik. Berbeza dengan generasi kita hari ini yang makan dan minum daripada sumber yang diproses oleh mesin. Ayam goreng segera yang ditempah atas talian. Makanan ringan dan gula-gula manisnya menyakitkan. Air bergula dan minuman berkarbonat yang meracun badan.

Kita sakit dan menderita. Ternyata, kehidupan kita ini adalah kehidupan robotik!

Antara Dua Darjat

Demikianlah analogi dalam aspek pemakanan yang mudah difahami. Dalam aspek kepimpinan dan pengurusan pula, elemen oragnik dan robotik juga turut memainkan peranan yang serupa.

1. Organik

– Sistem kehidupan semula jadi yang fitrah dan anjal.

– Meraikan fisiologi dan psikologi serta kehendak naluri setiap kehidupan.

2. Robotik

– Sistem yang diprogramkan, diatur cara dan disusun secara sistematik.

– Sangat mekanikal, rutin, rigid dan biasanya “kering”.

Ketika sesebuah organisasi atau entiti masih baharu dan kecil, setiap urusan dan operasi harian dilaksanakan secara organik. Pemimpin tertinggi mengenali secara peribadi dan berinteraksi secara fizikal dengan setiap ahli pasukannya. Arahan diberikan secara terus dan telus, penerangan diberi dengan cermat. Latihan, pembangunan potensi dan penilaian prestasi ahli dilaksanakan sendiri oleh pimpinan secara bersemuka.

Namun apabila saiz sesebuah organisasi semakin membesar dan strukturnya semakin kompleks, pihak pengurusan biasenye mengambil pendekatan robotik untuk mengendalikan bilangan manusia yang ramai, lokasi yang berselerak dan bidang tugas yang pelbagai. Maka lahirlah indikator prestasi utama (KPI), manual prosedur kerja (SOP), sistem penilaian, pelbagai jenis borang, mesyuarat, program dan saluran komunikasi yang sangat teknikal sifatnya.

Salah satu faktor kewujudan sistem robotik ini adalah membina kesedaran, kefahaman dan budaya yang bersifat organik dalam organisasi. Namun mesej ini terkadang tidak mampu difahami oleh semua, lantas berlaku kepincangan yang perlu ditangani dengan bijak oleh ketua, pemimpin dan sesiapa sahaja yang diamanahkan untuk mengurus tadbir sesebuah organisasi.

Hakikatnya, dalam mana-mana organisasi, syarikat korporat mahupun jemaah Islam, keseimbangan antara kedua-dua elemen ini amat penting untuk diberikan fokus.

Sistem Yang Menjerat Atau Mengerat?

Maslaahnya ialah apabila pemimpin dan ahli gaga memahami konsep ini, terutama bagi mereka yang lahir ketika organisasi telah berkembang dan membesar dengan sistem robotik yang terlalu canggih. Akibatnya mereka tidak mendapat gambaran yang jelas tentang budaya organik yang sepatutnya terbina atas pelbagai sistem robotik yang dicipta dan diaplikasikan olehgenerasi yang terdahulu.

Apakah kesannya? Antara kesannya:

1. Lahir generasi yang sekadar mengisi borang, tetapi tidak memahami tujuan di sebalik data dan fakta yang dibuat.

2. Menghadiri mesyuarat pagi dan petang, tetapi kerap membuat keputusan yang terencat.

3. Melakukan pelbagai program engagement, tetapi hati dan emosi tidak mampu diikat.

4. Sentiasa mesra bersembang di laman maya, tetapi gagal membina ukhuwah Islam yang erat.

Lantas mereka mula menyalahkan sistem robotik yang dicipta. Padahal silapnya bukan pada sistem semata, tetapi makna dan sejarahnye yang telah cair atau ditelan masa.

Penyelesai Masalah

Pemimpin yang bijak akan sentiasa menghidupkan kembali budaya organik dan mendidik ahli orgaisasi bahawa sistem robotik hanyalah sebagai pemangkin untuk melonjakkan prestasi organisasi, bukan pengganti sistem manusiawi.

Mereka akan menyuburkan seluruh ahli dengan kemahuan dan kemahiran, membajainya dengan ketaatan dan kepercayaan serta menyiraminya dengan kasih sayang dan empati.

Mereka menggerakkan seluruh ahli pasukan dengan qudwah (contoh) dan quwwah (kekuatan atau kemahiran).

Mereka menggerakkan hati, sebelum kefahaman dan isi.

Mereka dihormati, bukan ditakuti.

Mereka memberi untuk naik lebih tinggi.

Akhirnya, mereka berperanan sebagai petani yang bercucuk tanam, bukan juruteknik yang membaiki pam!

error: Content is protected !!