Ketagih Kebaikan

Ketagih? Apa yang terbayang dalam fikiran kita apabila dilontarkan perkataan ini? Penagih dadah? Ketagihan arak (minuman berakohol)? Biasa begitulah, bukan?

Mari kita ambil contoh arak. Kenapa pengambilan arak boleh menyebabkan ketagih? Ia disebabkan kesan alkohol yang terdapat dalam minuman tersebut terhadap otak. Antaranya, ia menyebabkan peinum akan rasa khayal, hilang ingatan, lupa diri dan kadang-kadang tidak sedar diri.

Kesannya? Dia mampu melupakan masalah yang dihadapi atau berasa bagaikan berada di alam lain. Lupa segala-galanya. Lagi? Paras alkohol di bawah 500mg / 100cm3 akan memberi kesan kepada koordinasi badan dan otot, pertuturan, penglihatan dan keseimbangan. Manakala kuantiti yang lebih tinggi daripada itu akan menjejaskan pernafasan, fungsi jantung dan boleh menyebabkan kematian!

Keburukan Lebih Dominan

Apa pun bukti saintifik tentang keburukan meminum arak, segalanya sudah ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran:

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: ‘Pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.'” (Surah al-Baqarah 2:219)

Sungguh malang, lantaran akibat buruk yang terpaksa ditanggung, bukan sahaja diri, malah turut melibatkan ahli keluarga dan masyarakat. Bahkan menjadi “parasit masyarakat” pula…

Baik, mari kita ambil iktibar daripada ketagihan ini. Ia disebabkan sesuatu yang kita amat terdorong untuk melakukannya, tanpa syarat. Ketagihan tercetus daripada keinginan yang teramat tinggi, terkadang sehingga ke tahap meluap-luap! Kalau begitu, kita pilihlah sahaja untuk melakukan sesuatu yang baik.

Jadilah penagih kebaikan! Bagaimana? Senaraikan kebaikan yang kita boleh buat. Yang boleh kita kategorikan sebagai “penyejuk mata”.

Kebaikan Penyejuk Mata

1. Solat

Jom, kita contohi Rasulullah yang menjadikan solat itu sebagai penyejuk mata. Bagi Baginda, solat adalah saat yang paling dinanti-nanti, dilaksanakan sepenuh hati. Bukan sekadar yang wajib, malah yang sunat juga mengiringi.

Kita juga tahu, solat merupakan amalan utama yang bakal dihisab di akhirat nanti. Jadi, kenapa kita tidak memilih untuk jadikannya sesuatu yang sebati dalam hidup kita? Jadikan diri kita rasa tidak sempurna tanpanya? Bahagia yang tidak terhingga apabila mampu melaksanakannya.

Jadilah penagihnnya!

2. Al-Quran

Apa lagi yang boleh kita pilih untuk ketagih? Pernah terima surat cinta? Ya, berapa kali kita membacanya? Berkali-kali… tanpa jemu! Itu hanya surat cinta daripda insan yang hatinya boleh berubah pada bila-bila masa! Bacalah surat cinta  daripada Yang Maha Pengasih iaitu al-Quran! Kalimah-kalimah agung Ilahi… Kalaupun payah, paksakan diri. Mulakan.

Tidak pandai tajwid. Belajar. Saat kita mula berjinak dengan al-Quran, kita akan mengecapi satu kehidupan baru yang penuh tenang, damai dan harmoni.

Kenapa? Ini kerana kita didampingi oleh teman yang sangat mulia dan paling setia. Bakal bersama sebagai teman di Barzakh, cahaya di titian sirat, syafaat dan peguam bela pada hari kiamat! Pilihlah untuk jadi “penagih” al-Quran yang mulia!

Kebaikan Lain?

Cuba lihat sekeliling. Ada atau tidak insan yang memerlukan bantuan? Pasti ada. Lantaran dunia ini pentas ujian. Jadi, “miskin sifar” itu tidak wujud di planet bumi ini. Dengan adanya orang susah, di situlah terujinya sifat dermawan orang kaya.

Latihlah diri untuk sentiasa membantu yang memerlukan. Nikmatilah kebahagiaan yang tidak terungkap oleh kata-kata saat menatap wajah ceria insan yang dibantu. Bukankah bahagia itu dengan membahagiakan?

Apatah lagi, Allah juga berjanji akan membantu sesiapa yang suka membantu orang lain.

Bantuan dapat diberi dalam pelbagai bentuk, bukan sekadar wang, tetapi juga tenaga, masa dan juga kata-kata yang baik penenang jiwa. Juga masa yang diluangkan bersama saat mereka diperlukan.

Kalau pun tidak mampu untuk itu semua, hadiahkan doa yang ikhlas.

Jadilah Penagihnya

Banyakkan kebaikan yang kita boleh pilih untuk jadi “penagihnya”nya. Asalkan ia perkara yang baik. Biar kita dinilai sebagai orang baik di mata manusia kerana saat kita bergelar jenazah, itu juga akan memberi nilai pada diri kita.

Usia kita amat terhad. Pilihlah untuk dapat pengakhiran yang baik dengan menjadi “penagih” kebaikan. 

Apa pun, utamakan keikhlasan dalam setiap kebaikan yang dicurahkan akan ia bernilai di sisi Allah.

Ketagih dadah, arak atau apa-apa jua kejahatan akan mengundang kemusnahan. Ketagih dosa pula menghasilkan momentum yang akan menarik individu tersebut semakin jatuh ke lembah kebinasaan. Manakala ketagih kebaikan pula menjana momentum yang akan menarik seseorang itu ke puncak kejayaan dan kebahagiaan.

Rugi Dunia, Rugi Lagi Akhirat

Memilih untuk ketagih kepada sesuatu yang membawa keburukan dan kemusnahan merupakan pilihan yag amat merugikan. Rugi di dunia. Lebih-lebih lagi, rugi di akhirat.

Namun jika kita memilih untuk ketagih kebaikan, itulah pilihan orang yang beruntung. Kesannya ialah bahagia, tenang, Allah reda, manusia suka dan insya-Allah mampu beroleh syurga!

Ingin jadi orang yang beruntung? Jadilah “penagih” kebaikan!

error: Content is protected !!