Tokoh Remaja Muslimah dalam al-Quran

Sekurang-kurangnya ada tiga orang watak remaja Muslimah yang diisyaratkan dalam al-Quran. Siapa mereka?

Pertama ialah kakak Nabi Musa. Berikutnya dua orang anak gadis penggembala di Madyan. Salah seorang daripada mereka kemudiannya menjadi isteri Nabi Musa. Bagaimanapun menurut satu riwayat, kedua-duanya menjadi isteri Nabi Musa.

Walaupun tidak dirakamkan nama mereka, keperibadian mereka yang disentuh al-Quran sudah cukup memberi inspirasi kepada remaja hari ini. Sepatutnya.

Hanya Sayidatina Maryam sahaja namanya dirakamkan dalam kalangan watak wanita dalam al-Quran. Jika kita mengambil kira beliau juga remaja, maka kita sudah ada empat orang tokoh remaja dalam al-Quran.

Berbalik kepada tiga orang tokoh pertama, kesemua kisah mereka berhimpun dalam satu surah; surah al-Qasas. Dekat-dekat pula kedudukan ayat-ayatnya. Ayuh kita soroti kisah mereka terus daripada al-Quran.

Kakak Nabi Musa

Firman Allah: “Dan si ibu berkata kepada kakak Nabi Musa: ‘Pergilah cari beritanya.’” (Surah al-Qasas 28: 11) Maka dia pun memantaunya dari jauh, sedangkan orang ramai tidak sedar. Lalu Allah buatkan Nabi Musa tidak mahu menyusu langsung.

Maka kakaknya berkata: “Mahukah, aku tunjukkan kamu sebuah keluarga yang mesti boleh bantu kamu menjaganya. Mereka pasti ambil berat terhadapnya.” Maka demikian kami kembalikannya kepada ibunya supaya sejuk matanya.” (Surah al-Qasas 28: 12-13)

Tentu pembaca sudah dapat gambaran penuh kisah ini. Ya, ini kisah Nabi Musa semasa kecil. Ketika itu Firaun mengarahkan semua bayi lelaki di negaranya dibunuh. Demi menyelamatkan si anak, ibu Nabi Musa menghanyutkannya di sungai.

Dalam hatinya, mudah-mudahan ada insan yang mengutip anaknya. Biarlah dia hidup bersama mereka, asalkan tidak dibunuh di depan mata. Demikian kasih ibu. Akhirnya Nabi Musa dikutip oleh isteri Firaun sendiri.

Bagaimanapun rencana Allah itu lebih hebat. Alhamdulillah, Nabi Musa kembali ke pangkuan ibunya. Semuanya berkat usaha seorang remaja perempuan. Sila analisis keperibadian kakak Nabi Musa daripada tiga ayat tadi. Beginilah caranya membaca al-Quran. Tadabbur…

Kakak yang Hebat

Saya katakan bahawa kakak Nabi Musa seorang yang bertanggungjawab, boleh diharap, penyayang, lincah, tabah, bijak dan berani.

Anda setuju? Betapa bertanggungjawabnya dan boleh diharap apabila ibunya menyuruh dia mengekori si adik yang sedang hanyut dibawa arus. Sudah tentu dia sanggup lakukan kerana sayang akan adiknya.

Betapa lincahnya beliau kerana dapat mengekori adiknya hingga akhir. Jika tidak, sudah lama dia ketinggalan dek arus dan liku-liku sepanjang sungai. Jika jiwanya tidak tabah, cepat lemah semangat tentu sahaja dia sudah panik dan gelabah. Apa-apa sahaja boleh berlaku terhadap adik tersayang. Bahkan dia boleh menyembunyikan emosi dan bertindak bijak memantau dari jauh sehingga orang tidak tahu bahawa dia kakak bayi itu.

Kemuncaknya, dengan berani kakaknya pergi ke istana Firaun untuk memberitahu bahawa ada keluarga pengasuh yang boleh menyusu dan membesarkan Musa. Pada ketika itu isteri Firaun mati akal kerana bayi angkatnya tidak mahu menyusu langsung.

Hebat bukan kakak Nabi Musa? Demikian sepatutnya remaja Muslimah sejati.

Dua Gadis Penggembala

Sekarang kita soroti kisah dua orang gadis lagi. Juga langsung daripada al-Quran. Allah berfirman: “Dan semasa menuju ke Madyan, Nabi Musa berdoa: “Mudah-mudahan Tuhan menunjukkan aku jalan yang benar.” (Surah al-Qasas 28: 22)

Ketika sampai di sebuah telaga air Madyan, Nabi mendapati ramai orang berkerumun di situ untuk memberi minum ternakan. Dalam ramai-ramai, baginda melihat ada dua orang perempuan yang sedang menahan ternakan mereka.

Nabi Musa bertanya: “Apa hal kamu berdua?” Mereka menjawab: “Kami tidak dapat memberi minum sehingga penggembala lain beredar. Bapa kami sudah tua.” (Surah al-Qasas 28: 23)

Lalu, Musalah yang berusaha mendapatkan minuman ternakan untuk mereka. Sesudah itu, baginda duduk di satu tempat teduh. Beliau berdoa: “Tuhanku, aku sangat berharap apa sahaja rezeki yang Engkau boleh berikan kepadaku.” (Surah al-Qasas 28: 24)

Kemudian datang kepada Nabi Musa salah seorang gadis tadi dengan berjalan tersipu-sipu malu. Dia berkata: “Bapa menjemputmu untuk membalas budimu kerana memberi minum ternakan kami.”

Tatkala Nabi Musa bertemu si bapa, baginda pun menceritakan kejadian-kejadian diri. Lalu dia berkata: “Janganlah engkau bimbang lagi. Engkau telah selamat daripada puak zalim itu.” (Surah al-Qasas 28: 25)

Berkata salah seorang gadis tadi: “Wahai ayah, upahlah dia sebagai pekerja. Sudah tentu orang yang paling baik ayah sepatutnya ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.” (Surah al-Qasas 28: 26)

Lelaki itu pun berkata: “Aku teringin mengahwinkanmu dengan salah seorang anak gadisku, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama lapan tahun.” (Surah Al-Qasas 22-28)

Di Sebalik Lelaki

Setakat itu sahaja. Baca sendiri sambungan kisah ini. Seronok bukan jika dapat memahami al-Quran?

Berbalik kepada isu kita, apa ciri-ciri gadis penggembala ini sehingga diisyaratkan Allah dalam al-Quran?

Saya boleh rumuskan antaranya mereka anak gadis yang cergas dan cerdas. Berfikiran ke hadapan dan boleh bagi pandangan bernas. Dalam masa yang sama mereka masih mengekalkan fitrah kewanitaan. Malu-malu. Bijak sungguh dia mengambil peluang, sehingga akhirnya bersuamikan seorang Nabi mulia.

Betul kata orang, di sebalik lelaki yang berjaya, ada perempuan di belakangnya. Patutlah Nabi Musa hebat. Di belakangnya, bukan seorang malah tiga orang perempuan; ibu, kakak dan isterinya. Dan dua daripada mereka ialah remaja.

error: Content is protected !!