Tembok Besar yang Runtuh

Wajah Wu Jin kelihatan begitu sugul. Matanya melirik ke luar jendela, merenung jauh entah ke mana. Lama dia memutuskan bicara sebelum mengumpul kekuatan untuk kembali bersuara.

“Anak saya dibela oleh kedua-dua orang tua saya di pangsapuri yang kami sewa di seberang sana,” ujarnya sambil menunjukkan jari telunjuk ke arah deretan bangunan tinggi yang terletak bertentangan dengan tempat kami makan tengah hari.

“Kos sara hidup di sini terlalu tinggi. Walaupun saya dan suami bekerja, namun kami tidak mampu untuk menghantar anak ke tempat asuhan bayi yang berdaftar,” sambungnya lagi.

“Tapi bagaimana dengan makan minum anak awak?” rakan saya tekun bertanya, ingin menyelami permasalahan lebih dalam barangkali.

“Setiap kali waktu makan tengah hari, saya akan bergegas pulang untuk menyusukan bayi dan membelikan makanan untuk ibu dan ayah saya yang telah uzur.” Matanya mula bergenang dengan air mata.

Cukuplah… Sebelum Wu Jin menangis, kami memberhentikan perbualan.

Mulut sambung mengunyah. Sambil hati kami sama-sama menyimpan sebakul resah.

Desakan Ekonomi dan Polisi Satu Anak

Ini bukanlah kali pertama saya mengetahui berkenaan isu polisi satu anak yang dikuatkuasakan oleh kerajaan China sejak tahun awal 1980-an, namun mendengarnya daripada sumber primer secara langsung ternyata menyuntik kefahaman dan emosi yang amat berbeza.

Kesan jangka masa yang panjang daripada pelaksanaan polisi ini ialah kekurangan wanita yang ketara disebabkan setiap pasangan lebih gemarkan anak lelaki dan cenderung untuk menggugurkan kandungan setelah dikenal pasti jika jantinanya perempuan.

Impak daripada fenomena ini ialah rata-rata generasi muda di sana lambat berkahwin, dan desakan hidup menambahkan lagi kerumitan mereka untuk memiliki cahaya mata. Rata-rata pasangan muda di China lambat mendapat anak disebabkan kos sara hidup dan pengurusan teknikal yang begitu mencabar.

Walaupun polisi ini telah dimansuhkan dan mereka dibenarkan memiliki maksimum dua orang anak kini, namun rata-rata rakyat yang hidup di kawasan bandar besar masih kekal dengan seorang anak.

Generasi tua pula menghadapi masalah penjagaan ketika usia lanjut kerana hanya mempunyai seorang anak. Anak tunggal itu biasanya sibuk bekerja dan bertarung nyawa dengan kesempitan hidup keluarganya sendiri, apatah lagi mahu menjaga dan menyara hidup kedua-dua orang tuanya.

Hujan Emas di Negeri Orang, Hujan Batu di Negeri Sendiri

Demikianlah realiti yang tersembunyi. Walaupun China merupakan kuasa besar yang begitu gah di mata dunia dari segi aspek kepesatan ekonomi dan pembangunan teknologi, ternyata hakikat pahit warga China amat ketara sekali.

Sebaliknya di negara kita Malaysia, masalah yang sama mungkin tidak begitu ketara. Walaupun beban kos sara hidup tetap ada, namun kesannya tidaklah seteruk di China. Kita masih bebas memiliki dan membina keluarga mengikut keperluan dan kemahuan masing-masing.

Ketika mereka begitu menghargai nilai seorang anak yang dilahirkan, terdapat segelintir daripada masyarakat kita yang langsung tidak merasa apa-apa apabila lahir seorang bayi comel yang merupakan zuriatnya sendiri. Malah mereka sanggup pula membuang bayi yang dilahirkan di merata-rata tempat kerana malu akibat hubungan terlarang yang terjalin di luar ikatan perkahwinan yang sah.

Pemimpin Bernas Akal

Tugas kita adalah mencari solusi. Dan sudah tentu solusinya adalah satu sistem yang lengkap dan holistik, bukan dengan cara mengambil separuh dan meninggalkan separuh yang lain.

Jika diselami lebih dalam, selama ini kita gagal menangani masalah pembuangan bayi di Malaysia kerana kita tidak membanteras punca permasalahan yang sebenar. Kita ingin memperkenalkan pendidikan seks kepada anak-anak seawal sekolah rendah, namun memandang sepi pemerkasaan mata pelajaran pendidikan agama Islam.

Kita ingin menghalang seks bebas, namun kita menutup sebelah mata terhadap kemasukan bebas para pelacur dari luar negara, pusat maksiat yang berleluasa, laman sesawang dan bahan-bahan lucah yang tidak disekat serta penguatkuasaan etika pemakaian dan penutupan aurat yang amat lemah.

Kita ingin membina lebih banyak baby hatch, tetapi tidak memberikan perhatian kepada anak-anak remaja liar yang tidak terjaga, dibuang keluarga dan hidup tanpa hala tuju di merata-rata tempat.

Kita ingin menghukum pelaku pembuangan bayi dengan hukuman yang amat berat, tetapi enggan memperkukuh pelaksanaan undang-undang syariah berkaitan aurat, khalwat, arak, judi dan pelbagai jenis punca zina yang lainnya.

Peranan Pada Skala Peribadi

Adakah kita ingin menghalau nyamuk dengan semburan racun dan memakai kelambu, tetapi tidak pernah membersihkan kawasan halaman rumah kita sendiri yang menjadi pusat pembiakannya?

Ayuh, setiap orang daripada kita ada peranan yang boleh dimainkan pada skala peribadi dan berdasarkan pengaruh dan jawatan masing-masing. Ingatlah, kita semua adalah pemimpin dan pasti akan dipertanggungjawabkan!

Selepas ratusan tahun, pasti Tembok Besar China yang utuh itu akan roboh. Binaan apakah yang kita mula bina hari ini bagi menggantikannya suatu hari nanti?

error: Content is protected !!