Manusia vs Jin

Manusia dan jin dicipta untuk
mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dengan mematuhi
segala titah perintah Allah serta menjauhi segala larangan-Nya. Semua makhluk ciptaan Allah tidak terlepas daripada tuntutan ini.

Allah menetapkan: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Surah al-Zariyat 51: 56)

Jin merupakan makhluk Allah yang diberi tanggungjawab memperhambakan diri kepada Allah seumpama manusia. Jadi, jin sama dengan manusia dari sudut keimanan dan kekufuran. Sebab itulah terdapat dalam kalangan jin golongan yang Islam, soleh, kafir, fasiq, munafik dan sebagainya.

Allah menjelaskan: “Dan sesungguhnya antara kami (jin) golongan yang soleh dan ada pula yang sebaliknya. Kami menempuh jalan yang berbeza beza.” (Surah al-Jinn 72: 11)

Tanah Tempat Berpijak

Allah mengingatkan manusia agar jangan lupa asal usul penciptaannya. Tanah yang difahami secara umum merupakan tempat berpijak semua benda hidup. Keadaan ini mendidik manusia agar tidak berasa bongkak dan bangga diri dengan segala kelebihan yang dimiliki.

Kebanyakan ulama menisbahkan penciptaan manusia daripada tanah itu merujuk kepada keturunan Nabi Adam. Said Hawa menjelaskan bahawa tanah menjadi asal usul penciptaan manusia. Ia bermula daripada sumber makanan yang nutriennya diambil daripada tanah. Lalu makanan ini diserap ke dalam darah dan sebahagiannya membentuk air mani. Maka air mani inilah yang menjadi permulaan dalam proses persenyawaan sehingga membentuk manusia.

Jin yang Ingkar

Makhluk yang ingkar dan derhaka daripada kalangan jin disebut sebagai iblis. Al-Quran menyatakan dengan jelas: “Lalu mereka sujud melainkan iblis, ia berasal daripada golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya.” (Surah al-Kahf 18: 50)

Perkataan iblis disebut dalam al-Quran sebanyak 11 kali. Manakala kisah Adam bersama iblis pula disebut oleh Allah di tujuh tempat dalam al-Quran.

Antaranya, Allah berfirman: “‘Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam’. Lalu mereka sekaliannya (malaikat) tunduk memberi hormat melainkan iblis; ia enggan dan takbur.” (Surah al-Baqarah 2: 34)

Dalam ayat ini Allah telah menceritakan permulaan kesesatan iblis apabila enggan menurut perintah Allah iaitu sujud kepada Adam. Sujud yang dimaksudkan di sini adalah sujud sebagai tanda memuliakan, bukannya sujud tanda pengabdian.

Iblis mengungkit asal kejadiannya daripada api yang kononnya lebih mulia daripada asal kejadian Adam iaitu tanah. Api mampu melonjak tinggi dan bercahaya lebih mulia daripada tanah yang bersifat pasif pada sudut pandangan iblis.

Inilah analogi yang telah diberikan oleh iblis. Malangnya analogi tersebut salah!

Dalam al-Tafsir al-Munir disebut bahawa kebaikan tidak boleh dinilai berdasarkan unsur material, sebaliknya ia dinilai berdasarkan unsur maknawi yang lebih berfaedah seperti ilmu yang dikurniakan oleh Allah kepada Adam.

Akibat kesombongan dan kesesatan iblis, Allah telah mengusirnya dari syurga. Namun iblis memohon supaya dia diberi tempoh hayat sehingga berlaku kiamat kerana mahu menyesatkan manusia.

Dek Bongkak

Menurut al-Suyuti dalam al-Durr al-Manthur, pada suatu ketika, Allah memerintahkan iblis mengetuai para malaikat untuk memerangi segolongan jin yang melakukan kerosakan di bumi. Lalu, mereka berjaya diusir ke pulau-pulau dan bukit bukau. Iblis merasa bongkak atas kejayaannya itu.

Justeru, punca yang menghalang iblis daripada sujud kepada Adam adalah sifat bongkak. Dia merasa dirinya jauh lebih baik daripada Adam: “Iblis menjawab: ‘Aku lebih baik daripada Adam, Engkau jadikan aku daripada api sedangkan dia daripada tanah.’” (Surah al-A‘raf 7: 12)

Seterusnya iblis dengan angkuh mengisytiharkan permusuhan yang abadi dengan manusia: “Demi kekuasaan-Mu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semua. Kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas antara mereka.” (Surah Sad 38: 82-83)

Allah telah memberikan keizinan kepada iblis untuk mempunyai usia yang panjang. Oleh yang demikian, boleh dikatakan bahawa ciri yang paling utama pada iblis ialah dia kekal hidup hingga hari kiamat.

Syaitan Ada Dendam

Manakala syaitan pula adalah golongan yang ingkar daripada kalangan jin dan manusia. Allah berfirman: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada sesetengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya.” (Surah al-An‘am 6: 112)

Menurut al-Raghib al-Asfahani dalam Mufradat Alfaz al-Qur’an, perkataan syaitan bermaksud “menjauhkan”. Oleh itu, syaitan terdiri daripada golongan jin dan manusia yang cuba menjauhkan serta menyesatkan hamba Allah daripada memperhambakan diri kepada-Nya dengan pelbagai cara dan tipu daya.

Syaitan dalam kalangan jin ialah anak cucu kepada iblis. Mereka sentiasa berusaha menyesatkan manusia. Semua itu semata-mata membalas dendam kerana nenek moyang mereka iaitu iblis diusir dari syurga ekoran keengganannya untuk sujud kepada Nabi Adam.

Allah berfirman: “Iblis berkata: ‘Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyesatkan aku, (maka) sesungguhnya aku akan bersungguh-sungguh menghalang mereka (daripada mengikut) jalan-Mu yang lurus.’” (Surah al A‘raf 7: 16)

Menurut Ibn Qayyim, maksud “jalan yang lurus” dalam ayat di atas ialah Islam kerana ia jalan yang membawa kepada Allah.

error: Content is protected !!