Bersangka Baiklah

Pernah dengar istilah “gen”? Gen ada di dalam sel badan kita. Setiap manusia mempunyai 50 trilion sel. Apa kaitan dengan kita? Gen ada kaitannya dengan pewarisan sifat-sifat keturunan seseorang individu. Namun, terdapat kajian menarik tentang gen. Apa dia? Sebenarnya, apa yang berlaku kepada kita bukan ditentukan oleh gen, tetapi ditentukan oleh persepsi, minda dan pemikiran kita. Cara kita berfikir akan mencetus perubahan dalam hidup. Walaupun gen merupakan “blueprint” yang berada di dalam sel kita, namun ia dapat “ditulis semula”

Plasebo vs Nocebo

Bagi pemikiran positif, akan ada kesan plasebo. Contohnya, kalau kita fikir kejayaan itu milik kita, insya-Allah kita akan berjaya. Sebaliknya, bagi pemikiran negatif pula, kesan nocebo akan juga membuahkan hasil negatif.

Benarlah apa pakar motivasi sebut, “Kita adalah apa yang kita fikirkan.” Jadi:

Kita bertanggungjawab terhadap kehidupan sendiri. Kita bukan mangsa gen atau keturunan kita. Allah berfirman: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah nasibnya sendiri.”(Surah Al-Ra’d 13:11)

Apa beza kita dengan hidupan lain, khususnya haiwan dan tumbuhan? Sudah tentu akal dan pemikiran yang menjadi domain intelek kita. Berbekalkan anugerah yang paling bernilai ini, manusia berjaya mencipta tamadun.

Lihat, apa beza kehidupan manusia masa kini dengan lampau?

Amat jauh berbeza. Dalam segala aspek kehidupan termasuklah pertanian dan perhubungan. Apakah pencetus perubahan-perubahan ini? Pemikiran!

Pandu Persepsi dengan Betul

Mari lihat skop mikronya yang merangkumi diri sendiri sahaja. Anda ingin meningkatkan tahap akademik. Jika sudah ada Ijazah Sarjana, ingin pula Ph.D. Jika terfikir ia susah, maka tentu akan jadi susah.

Cuba sebut: “Senang, dengan bantuan Allah.” Insya-Allah, anda akan dibimbing oleh Allah ke arah itu dan ia juga akan menjadi mudah! Bukankah tidak ada yang mustahil denganbantuan Allah?

Suatu ketika dahulu, saya sentiasa tidak sabar apabila berada di tanah suci. Pelbagai ragam dan kerenah manusia perlu dihadapi. Alhamdulillah, apabila berfikir, saya diilhamkan satu formula: “Anggaplah mereka semua itu saudara kita tanpa mengira usia mereka.”

Suatu hari, saya beratur untuk mengambil air zamzam. Setelah lama beratur, tibalah giliran saya. Tiba-tiba datang seorang jemaah, terus sahaja memotong barisan dan mengambil air. Saya menarik nafas panjang. Ingin aplikasikan formula baru.

Saya lihat wajahnya, masih muda. Lantas saya berkata dalam hati: “Wahai adikku, kenapa kamu bertindak begini?” Saya paksa diri mengiringi kata hati dengan kasih sayang. Marah? Jauh sekali! Spontan juga senyuman terukir di bibir tanpa disedari!

Hidup ini Pilihan

Tahu apa yang berlaku? Wanita itu terus tersenyum. Saya perhatikan, senyuman itu diiringi perasaan malu dan bersalah. Dan saya yakin, itulah perasaannya. Benar, aura positif kita mampu mempengaruhi aura yang sama pada orang lain.

Berdasarkan pengalaman, jika dimarahi tentu dia juga akan memarahi saya kembali. Silap hari bulan, pertengkaran sengit berlaku. Tetapi, dengan memandu persepsi agar positif, hasilnya juga positif. Kan lebih baik begitu? Selepas itu saya terus ke ruang solat dengan perasaan senang hati. Dengan berbaik sangka, kita dapat elak malapetaka.

Di tempat kerja pun begitu. Kita perlu sentiasa bersangka baik terhadap tugas, majikan, ketua jabatan, rakan sejawat, pelajar, pekerja am dan sesiapa sahaja. Insya-Allah, orang lain pun akan mempunyai persepsi yang baik juga terhadap kita.

Begitu juga sebaliknya. Jika yang kita tanam itu fikiran negatif, itulah yang akan dituai. Jadi, lantaran hidup ini sebuah pilihan, mengapa perlu yang negatif? Berjaya atau gagal? Pilihlah untuk berjaya. Kasih sayang atau benci? Pilihlah kasih sayang. Kita akan dapat apa yang kita beri. Tidak rugi!

Bersangka Baik dengan Allah

Dengan menjadi orang yang positif, kita akan:

  • Disenangi di mana-mana sahaja
  • Mempunyai hubungan baik dengan orang lain
  • Hubungan sesama manusia tidak bermasalah
  • Hati tenang dan damai

Tidakkah ini menyumbang kepada kesihatan emosi dan sosial, seterusnya kesihatan jasmani? Bukankah kesihatan itu komoditi termahal? Hablumminallah pula bagaimana? Pun sama. Kita akan hampir dengan Allah jika bersangka baik dengan-Nya.

Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa Allah berfirman: “Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku. Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Jika dia mengingati- Ku dalam dirinya, aku akan mengingatinya dalam diri-Ku.Jika dia mengingati-Ku dalam suatu kelompok, Aku akan mengingatinya dalam kelompok yang lebih baik daripada kelompok mereka.

“Jika dia mendekati-Ku satu hasta, aku akan mendekatinya satu lengan. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan. Aku datang kepadanya dengan berlari.” (Riwayat al-Bukhari)

Ingin Allah sentiasa hampir? Sentiasalah bersangka baik dengan-Nya. Yakin kita sentiasa dalam rahmat, pemantauan dan pemerhatian-Nya dengan penuh rahmat dan kasih sayang. Apa yang berlaku, yakinlah. Semuanya terbaik buat kita.

Mengapa? Segalanya dalam perencanaan-Nya. Masakan Dia takdirkan sesuatu yang tidak baik untuk hamba-Nya yang dikasihi. Cuma kita sahaja yang tidak mampu menyingkap hikmah segala takdir dan menerimanya dengan baik. Ini kerana ilmu kita terbatas, sedangkan tidak begitu bagi Allah.

Tulis Semula “Gen”

Dengan bersangka baik, kita mampu “menulis semula” sifat-sifat gen dalam sel kita. Hasilnya, kita akan dapat apa yang dicita-citakan. Sangka baik dengan manusia, kita mampu meraih kesihatan emosi, sosial dan jasmani. Sangka baik dengan Allah, kita akan dapat segala-galanya.

Bukankah Allah Pemilik segalanya? Benar, kita adalah apa yang kita fikirkan. Justeru, dengan sesama manusia, apatah lagi dengan Allah, sentiasalah bersangka baik!

error: Content is protected !!